Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di Istana Akasaka, Tokyo ketika lawatan kerja ke Jepun bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun, 16 Disember, 2023. - PMO

KUALA LUMPUR – Pelaburan baharu syarikat Jepun berjumlah RM6.56 bilion disifatkan sebagai cerminan keyakinan negara itu terhadap Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru sahaja menamatkan lawatan kerja lima hari ke Tokyo pada 16 hingga 21 Disember menghargai kesudian Jepun dalam membina semula Malaysia.

“Saya yakin masa depan kita bersama pada 2024. Kerangka Ekonomi MADANI menzahirkan kemakmuran bersama untuk semua yang komited terhadap agenda transformasi Kerajaan Madani.

“Saya optimistik sekiranya jika semua rakyat bersatu dan bekerjasama dalam merealisasikan wawasan ini, tiada cabaran yang tidak dapat kita atasi,” kata Anwar dalam kenyataan hari ini.

Pelaburan bernilai tinggi ini akan mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi yang sama rata untuk lebih ramai rakyat Malaysia selaras dengan keutamaan di bawah kerangka Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Dalam lawatan itu Anwar telah mengadakan mesyuarat bersemuka dengan syarikat Jepun RoHM Wako, NEC Co. Ltd. (Toshiba), dan Mitsui & Co. Ltd.

Beliau turut menghadiri persidangan meja bulat dengan 25 syarikat Jepun, yang menzahirkan minat untuk meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia.

Jumlah pelaburan RM6.56 bilion akan meningkatkan pelaburan Jepun di Malaysia sekurang-kurangnya RM30 bilion tahun ini.

Di bawah jalinan perhubungan baharu yang diperkukuh kerjasama antara Jepun dan Malaysia dijangka berkembang luas, merentasi bidang ekonomi, pertahanan, sains, teknologi, inovasi, alam sekitar dan budaya.

Produk pertama hasil Perkongsian Strategik Komprehensif baharu ialah Geran
Bantuan Program Peningkatan Kapasiti Keselamatan (OSA) sebanyak 400 juta yen (RM13 juta) daripada Jepun untuk meningkatkan keselamatan maritim Malaysia.

Ini adalah tambahan kepada pakatan kerjasama yang ditandatangani antara Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Agensi Eksplorasi Aeroangkasa Jepun (JAXA).

Lawatan kerja itu turut meliputi kehadiran di Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, selain menghadap Maharaja Jepun Naruhito dan Maharani Masako; pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida; dan diaspora Malaysia.

Anwar juga turut berucap pada Mesyuarat Pemimpin Asia bagi Komuniti Pelepasan Karbon Sifar Asia (Asia Zero Emission Community- AZEC).

Jadual Perdana Menteri yang padat mencerminkan betapa kukuhnya persahabatan yang terjalin dengan Jepun sejak sekian lama dan juga kestabilan politik baharu dan prospek pertumbuhan dan transformasi ekonomi yang cerah di Malaysia.

Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke Jepun sejak menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Perdana Menteri turut ditemani oleh delegasi kepimpinan tertinggi Malaysia termasuk Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan yang lain.-MalaysiaGazette