Home Dunia Pakar bedah tumbuk pesakit cetus kemarahan warga China

Pakar bedah tumbuk pesakit cetus kemarahan warga China

BEIJING – Pihak berkuasa China sedang menyiasat sebuah hospital berhubung insiden seorang pakar bedah didakwa menumbuk pesakit yang sedang dibedahnya.

Perbuatan itu tular di media sosial China minggu ini, mencetuskan kemarahan orang ramai.

Syarikat induk hospital itu, Aier China, telah menggantung kerja pakar bedah itu dan memecat ketua pegawai eksekutif hospital tempat kejadian itu berlaku pada tahun 2019.

Menerusi rakaman video menunjukkan pakar bedah menumbuk kepala pesakit sekurang-kurangnya tiga kali semasa pembedahan mata.

Aier China, yang mengendalikan rangkaian hospital mata tersebut berkata, kejadian itu berlaku semasa pembedahan dilakukan di hospitalnya di Guigang.

Pesakit adalah seorang wanita berusia 82 tahun dan “semasa pembedahan, disebabkan oleh anestesia, pesakit mempunyai sikap tidak bertoleransi”.

Dia menggerakkan kepala dan bola matanya beberapa kali, menurut kenyataan mereka.

Memandangkan pesakit hanya boleh bertutur dalam dialek tempatan dan kelihatan tidak bertindak balas kepada amaran doktor dalam bahasa Mandarin, pakar bedah “merawat pesakit secara kasar dalam keadaan kecemasan”.

Pihak berkuasa tempatan berkata, pesakit itu mengalami lebam di dahinya.

Selepas pembedahan, pihak pengurusan hospital meminta maaf dan membayar 500 yuan (AS$70) sebagai pampasan, menurut anak lelaki pesakit kepada media tempatan.

Dia berkata, ibunya kini buta di mata kirinya, walaupun tidak jelas sama ada ia berpunca daripada kejadian itu.

Aier China berkata, pihak hospital gagal melaporkan kejadian itu kepada ibu pejabat.

Pada Khamis, ia mengumumkan pemecatan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Guiyang dan penggantungan pakar bedah – yang juga dekan hospital – kerana “pelanggaran serius peraturan kumpulan”, termasuk kesalahan lain yang tidak dinyatakan.

Walaupun kejadian itu berlaku pada Disember 2019, ia hanya mendapat perhatian orang ramai minggu ini selepas seorang doktor terkenal Cina, Ai Fen, berkongsi rakaman CCTV mengenai pembedahan itu.

Dr Ai, yang merupakan antara sekumpulan doktor yang memaklumkan orang ramai tentang wabak awal Wuhan Covid, telah menyiarkan klip itu di akaun Weibonya, yang mempunyai lebih daripada dua juta pengikut. – Agensi