Mohd Saufiyuddin Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Para pembayar zakat di tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berpeluang untuk menunaikan kewajipan membayar zakat pendapatan menerusi kaunter yang dibuka dari pukul 8 pagi hingga 9 malam.

Inisiatif Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Kempen Year End Zakat (YEZ) itu merupakan langkah bagi memudahkan urusan pembayar zakat menjelang hujung tahun ini.

Penolong Pengurus Besar Dakwah Zakat dan Wakaf, Mohd Saufiyuddin Abu Bakar berkata, untuk lima hingga enam hari terakhir ini kaunter-kaunter PPZ dikunjungi oleh para pembayar zakat sempena akhir tahun.

Katanya, pada akhir tahun ini. kaunter PPZ dibuka setiap hari dengan waktu operasinya tujuh hari seminggu.

“Kita mula beroperasi dari 8 pagi hingga 9 malam bermula 21 hingga 31 Disember. Jadi, tiada alasanlah kepada pembayar zakat utuk tidak membayar zakat pendapatan sebab kita kini buka kaunter dari pagi sampai malam.

“Kita harap ramai yang akan datang,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Pusat Pungutan Zakat Cawangan Wangsa Maju di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Saufiyuddin berkata, pembayar-pembayar zakat boleh mendapatkan potongan daripada cukai pendapatan sekiranya mereka membuat bayaran di PPZ.

Contohnya, seseorang itu yang sepatutnya dikenakan cukai pendapatan sebanyak RM5,000 namun disebabkan telah menunaikan kewajipannya untuk membayar zakat sebanyak RM4,000 – dia hanya perlu membayar cukai pendapatan sebanyak RM1,000 sahaja.

Bagaimanapun, pembayar zakat perlu membuat bayaran zakat itu pada tarikh resit sebelum 31 Disember ini kerana jika terlepas tarikh itu ia akan dikira membayar zakat untuk tahun berikutnya.

“Jadi, untuk individu yang bayar zakat ni pastikan bahawa tarikh zakat tu mestilah tahun semasa atau pun tarikh yang sama.

“Katakanlah untuk tahun 2023 kita akan buat taksiran pada bulan tiga atau bulan empat, tarikh resit zakat mestilah sebelum 31 Disember 2023 sebelum pukul 12 tengah malam.

“Kita seru kepada orang ramai pembayar zakat untuk ambil peluang ni bayar zakat segera untuk dibuat taksirannya,” ujarnya.

Meskipun, ada yang mungkin tidak berkesempatan untuk datang ke kaunter untuk membuat taksiran sekaligus membayar zakat, cara lain yang boleh digunakan adalah dengan mengunjungi portal zakat.

Dalam pada itu, Mohd Saufiyuddin berkata, pembayar-pembayar zakat juga berpeluang merebut hadiah-hadiah menarik sempena kempen yang sedang berlangsung ketika ini.

Antara hadiah menarik itu adalah peluang untuk menunaikan umrah dan pelbagai barangan lain.

Bagi mereka yang membuat Potongan Zakat Bulanan (PZB) pula, mereka berpeluang mendapatkan hadiah bagi mengadakan lawatan ke Balkan.

“Jadi, ada dualah (umrah dan lawatan ke Balkan). Jangan lupa peluang untuk isi borang potongan zakat semasa dan potongan zakat bulanan,” tambahnya.

Mohd Saufiyuddin menjelaskan, peningkatan dan kesedaran pembayar zakat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar zakat kini semakin bertambah.

Katanya, jika sebelum ini ada yang mempertikaikan tentang zakat pendapatan namun ia tidak berlaku lagi.

Tambah beliau, membayar zakat pendapatan merupakan sesuatu kewajipan yang ditetapkan oleh Allah untuk menyuci dan membersihkan harta disamping dapat penolakan terhadap cukai pendapatan.

“Kita guna kaedah kita bijak sini dan bijak sana, dunia kita dapat akhirat pun kita dapat.

“Insya-Allah…dengan adanya pembayaran zakat yang kita buat ini hidup kita akan dapat keberkatan daripada harta yang dizakatkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast