KUALA LUMPUR – Sebanyak 13,552 unit produk farmaseutikal tidak berdaftar berjumlah RM132,498 dirampas di pintu-pintu masuk negara sepanjang Operasi Pangea XVI.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Norhaliza A. Halim berkata, paling banyak dirampas produk kosmetik (2,359 unit), diikuti oleh produk merawat penyakit gastrik (2,243 unit) dan steroid (1,673 unit).

“Sepanjang tempoh operasi ini, sebanyak 330 bungkusan pos telah diperiksa dan sejumlah 58 bungkusan pos yang didapati mengandungi produk farmaseutikal tidak berdaftar telah dirampas,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Norhaliza, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan (KKM) juga mendapati trend pembelian ubat penahan sakit dan suplemen kesihatan dari luar negara juga semakin meningkat setiap tahun.

“Pada tahun ini juga sebanyak 1,465 unit ubat penahan sakit dan 1,343 unit suplemen kesihatan turut dirampas di pintu masuk utama dan pusat pengedaran mel di seluruh Malaysia.

“Kebanyakan produk farmaseutikal dan kosmetik yang dirampas ini adalah berasal dari Australia, Bangladesh, Hong Kong, Jepun dan India,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, katanya, sebanyak 45 buah premis yang menjual produk farmaseutikal yang tidak berdaftar termasuk rumah kediaman, klinik dan premis perniagaan telah diserbu.

“Dalam serbuan tersebut, 96,691 unit produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang telah dirampas untuk tindakan lanjut. Nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM417,291.

“Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM turut merampas produk tradisional yang dicampur palsu dengan steroid, ubat penahan sakit dan ubat batuk yang tidak berdaftar dan dijual oleh penjual yang tidak berlesen dan tidak diberi kuasa di bawah Akta Racun 1952. Hasil serbuan ini, sebanyak 12 fail siasatan telah dibuka untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Selain itu, Norhaliza berkata, sebanyak 1,675 pautan laman sesawang termasuk akaun media sosial dan e-dagang dikesan menjual produk farmaseutikal menyalahi peruntukan undang-undang sepanjang operasi berkenaan yang bermula 3 hingga 10 Oktober yang lalu.

Jelasnya, sebanyak 76 peratus daripadanya merupakan platform e-dagang.

Katanya, semua pautan tersebut telah diadukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sebagai rekod, Operasi Pangea diadakan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang risiko membeli ubat daripada laman sesawang palsu; merampas produk tidak berdaftar, tiruan dan dicampur palsu dan mengeluarkannya dari pasaran dan menyekat akses laman sesawang yang menjual produk farmaseutikal yang menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette