Ribuan warga asing membanjiri KLCC bagi ambang tahun baharu 2024.

KUALA LUMPUR – Itu antara reaksi segelintir netizen dan warga tempatan apabila melihat ribuan warga asing membanjiri Menara Berkembar Petronas (KLCC) bermula sejak 8.30 malam tadi bagi menyambut ambang tahun baharu 2024.

Walaupun kerajaan sudah membuat keputusan untuk tidak mengadakan sebarang acara ambang tahun baharu bagi memberi laluan kepada solidariti masyarakat Palestin di Gaza namun ia tidak menghalang orang ramai terutamanya warga asing ke lokasi tumpuan di ibu kota.

Masing-masing teruja dengan bangunan ikonik Malaysia bertukar warna sejurus selepas pukul 12 tengah malam dan kedengaran sorakan kuat di seluruh pelosok kawasan pusat beli belah Suria KLCC.

Malah kehadiran warga asing yang membuat bising dengan bercakap kuat selain menggunakan alatan seperti trompet dan membunyikan hon tidak disenangi warga tempatan.

“Sudah seperti Mini Dhaka pula tengok ambang tahun baharu hanya mereka sahaja penuh sana sini,” kata netizen yang menonton live MalaysiaGazette.

Tinjauan juga mendapati kebanyakan warga asing yang dari negara seperti Bangladesh, Nepal, India, Filipina selain Timur Tengah juga kelihatan begitu teruja sehingga ada yang membuat provokasi dengan saling tolak menolak sesama mereka.

Tidak kurang juga  membuang sampah merata-rata, meludah merata-rata sehingga perlakuan mereka mengundang rasa tidak senang pengunjung lain.

Namun demikian, situasi agak terkawal dengan kehadiran ramai anggota keselamatan di lokasi berkenaan bagi mengawal keadaan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Seorang pengunjung tempatan yang enggan namanya disiarkan kecewa apabila melihat saban tahun kehadiran warga asing semakin ramai sehingga menyebabkan rakyat tempatan gusar untuk keluar.

“Bukan tidak ramai yang hendak keluar dan berseronok seketika lagi-lagi apabila adanya acara penting seperti ambang tahun baharu atau kemerdekaan. Malah ketika sambutan perayaan penting juga, tempat ini sudah penuh dengan warga asing.

“Walaupun tidak semua berkelakuan tidak senonoh namun memang rasa takut apabila berdepan dengan mereka kerana mereka datang dalam kumpulan begitu besar, banyak peraturan juga tidak dipatuhi,” katanya.

Selain daripada warga asing, ada juga dalam kalangan pelancong asing yang sedang bercuti di negara ini mengambil kesempatan untuk menyaksikan sendiri bagaimana sambutan Tahun Baharu 2024 disambut di hadapan bangunan ikonik di negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast