Pintu masuk ke Pusat pemulihan untuk penagih dadah di PUSPEN Serendah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

KAJANG – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mensasarkan untuk menurunkan kadar penagih dadah tidak melebihi 400 bagi setiap 100,000 penduduk dan meningkatkan kepulihan penagih sehingga 80 peratus menjelang 2025.

Ketua Pengarahnya Sukteno Ahmad Belon berkata, ia merupakan dua petunjuk prestasi utama (KPI) bagi mengukur kejayaan Pelan Strategik AADK.

Menurutnya, KPI bagi kadar penagihan dadah di Malaysia pada tahun 2023 ialah sebanyak 430 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

“Bagaimanapun, sehingga September 2023, sebanyak 386 kes direkodkan bagi setiap 100,000 penduduk direkodkan dan ini bermakna, AADK masih berada pada landasan yang tepat berdasarkan kepada pencapaian KPI tersebut.

“Jika diimbas pada tahun 2022, sebanyak 420 kes bagi setiap 100,000 penduduk direkodkan berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 440 kes.

“Pun begitu, AADK menetapkan sasaran dadah terkawal menjelang tahun 2025 adalah sebanyak 400 kes bagi setiap 100,000 penduduk dan kita perlu menyahut cabaran untuk mencapai KPI tersebut,” katanya semasa berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2024 di sini hari ini.

Dalam ucapan sama, Sukteno juga menyahut seruan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mencabar AADK untuk mencapai 75 peratus bagi kadar kepulihan klien pada tahun ini berbanding hanya 72 peratus yang ditetapkan pada awalnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sukteno menambah, pada tahun 2023, AADK merawat pulih seramai 50,623 orang klien menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).

Daripada jumlah itu, katanya bagi tempoh Januari hingga November 2023, seramai 15,425 klien telah dinilai dan hasil penilaian mendapati seramai 13,022 klien atau 83 peratus mencapai tahap kepulihan.

“Berbanding dengan tahun 2022, AADK merawat pulih seramai 44,754 penagih dan daripada jumlah itu, seramai 19,440 klien telah dinilai dan hasil penilaian itu mendapati seramai 14,008 atau 71 peratus klien mencapai tahap kepulihan sekali gus membuktikan AADK berjaya mengatasi kadar sasaran awal bagi KPI ini iaitu sebanyak 75 peratus dan ia dinilai menerusi kaedah Cure and Care Recovery Index (CCRI) dan berjaya mencapai KPI yang ditetapkan hasil kerjasama kumpulan pelaksana di lapangan,” ujar beliau.

Sementara itu jumlah klien bagi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) pula ialah seramai 5,913 berbanding 6,284 klien di rawat pada tahun 2022 dengan berbekalkan Model i-Pulih AADK yang komprehensif, pentauliahan melalui sijil amalan rawatan dan pemulihan (CPP) serta pematuhan pegawai pemulihan di lapangan.

Berdasarkan pencapaian terkini itu, Sutekno berkeyakinan tinggi bahawa AADK mampu meneruskan kefungsian dan terus berperanan sebagai wahana menyebarluaskan khidmat rawatan dan pemulihan dadah dan memperkukuh recovery capital melalui program Sokongan Pengekalan Kepulihan serta mengindustrikan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) agar lebih banyak akses untuk rawatan, perubatan dan pemulihan dadah di seluruh negara.

Dalam satu lagi perkembangan lain berkaitan dadah, katanya pada tahun 2023, AADK berjaya mengurangkan separuh Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) daripada jumlah keseluruhan yang dikesan iaitu sebanyak 155 KBT di seluruh negara bagi tempoh
2021-2025.

Justeru katanya, sehingga November 2023, sebanyak 77 KBT atau 99 peratus mencapai status hijau dan bertukar status kepada Kawasan Berisiko Rendah (KBR) berbanding 39 KBT pada tahun 2022 manakala 16 daripada 77 KBT yang berada dalam status KBR telah diserahkan kepada komuniti untuk tujuan pengekalan KBR.

“Melihat kepada momentum kejayaan ini, AADK yakin dan meletakan sasaran untuk menukar status KBT di 117 kawasan melibatkan 39 KBT semasa manakala 78 lagi KBT pengekalan bagi memastikan semua kawasan ‘panas’ atau hotspot itu kekal sebagai status KBR pada tahun 2024.

“Bagi KPI kadar penahanan orang yang disyaki (OYDS) penagih dadah pula, AADK menetapkan sebanyak 91 peratus daripada 19,238 OYDS yang dikesan di seluruh negara adalah mereka yang secara sahih positif dadah.

“Dalam hal ini, AADK berjaya mencapai sasaran tersebut pada tahun ini iaitu sebanyak 17,569 atau 91.32 peratus OYDS yang dikesan didapati positif dadah berbanding 42,446 atau 113 peratus OYDS yang ditahan daripada 37,657 OYDS pada tahun lalu,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette