Letupan besar daripada pesawat Japan Airlines yang berlanggar dengan pesawat pengawal Pantai Jepun.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar sedang memantau rapat sama ada terdapat rakyat Malaysia terbabit dalam kemalangan pesawat di Lapangan Terbang Haneda Tokyo, Jepun.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, pihaknya akan menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di alamat 20-16 Nanpeidai-cho, Shibuya-ku, 150-0036 Tokyo atau menghubungi talian +81-3-3476-3840 atau +8180-3913-3840 (kecemasan) atau emel di [email protected] dan [email protected].

Dalam pada itu, Wisma Putra turut menzahirkan simpati dan ucapan takziah kepada mangsa serta keluarga yang terjejas termasuk Kerajaan Jepun susulan insiden itu.

Terdahulu, pesawat Japan Airlines (JAL 516) bertembung dengan pesawat pengawal pantai Jepun (JCG) di landasan Lapangan Terbang Haneda, Tokyo pada jam 5.47 petang waktu tempatan, semalam.

Seramai 379 penumpang termasuk lapan kanak-kanak dan krew pesawat JAL 516 berjaya diselamatkan manakala lima daripada enam anak kapal pesawat JCG maut dalam insiden itu.

Difahamkan, pesawat JCG sedang membawa barangan bantuan untuk kawasan yang dilanda gempa bumi di Wilayah Niigata selepas beberapa siri gegaran sehingga 7.6 magnitud melanda tengah Jepun sejak Isnin.

Rakaman NHK menunjukkan letupan api besar dilihat dari sebelah pesawat Japan Airlines ketika ia bergerak di landasan selepas mendarat dan api menyambar pesawat itu tidak lama kemudian.

Menurut kementerian pengangkutan, akibat pelanggaran itu, semua landasan di Lapangan Terbang Haneda kini ditutup. – MalaysiaGazette