Majlis Penyerahan Buku Kompas 114 versi braille dan Pelancaran Buku Matan Al- Syatibiy versi braille di USIM baru-baru ini.

NILAI – Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di bawah pimpinan Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) menyerahkan Buku Kompas 114 Versi Braille dan Pelancaran Buku Matan Al- Syatibiy Versi Braille bersempena Hari OKU Sedunia yang disambut pada 3 Disember setiap tahun.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff berkata, majlis tersebut merupakan usaha untuk memartabatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat daripada pelbagai lapisan komuniti termasuk komuniti orang kelainan upaya (OKU) penglihatan.

Menurut beliau, inisiatif itu untuk memberi manfaat kepada golongan tersebut, agar mereka tidak terkeciciran terutamanya dalam bidang ilmiah.

“Buku Kompas 114 ini adalah sebuah buku separa ilmiah yang bertujuan menjadi pembimbing buat pembaca al-Quran dalam kembara penghayatan dan tadabbur kalamullah yang agung.

“Saya berharap program ini dijalankan secara lebih meluas dan penerbitan buku sebegini lebih banyak diterbitkan bagi memastikan budaya ilmu terus berkembang luas sejajar dengan usaha menjadikan USIM sebagai Pusat Rujukan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli di peringkat serantau dan global”, katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, buku itu diserahkan kepada 10 wakil terpilih, antaranya Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM), PIBG Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, al-Fitrah Foundation, KL Braille dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pada program tersebut, sesi bedah buku Kompas 114 oleh Ustaz Syaari Ab Rahman turut diadakan.

Usaha mentranskripsi buku tersebut dimulakan sejak akhir tahun 2021 dan sebanyak 5 jilid diterbitkan dengan jumlah 914 muka surat keseluruhannya.

Adnan berkata, usaha penterjemahan dibantu oleh para pelajar kursus Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah dan turut mendapat kerjasama daripada syarikat Iltizam Braille yang diterajui oleh Ustaz Sumairi Zainol.

Beliau berharap agar keakraban yang terjalin sepanjang program itu dapat menjadi medan perbincangan dan perkongsian ilmu serta idea dalam usaha untuk menambahbaik prestasi dan kebolehan para mahasiswa dan mahasiswi pada masa akan datang. – MalaysiaGazette