Kerja-Kerja Jambatan Projek ECRL yang merentasi Sungai Pahang di kawasan Temerloh.

KUALA LUMPUR – Malaysia Rail Link (MRL) sentiasa mengutamakan usaha untuk memperkasa penglibatan bumiputera di dalam Projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sungguh pun perkara itu tidak termaktub di dalam Perjanjian EPCC yang hanya mensyaratkan penglibatan syarikat tempatan sahaja.

Justeru pelbagai inisiatif telah dibuat bagi mencapai objektif tersebut, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu bagi memperjelaskan dakwaan berkaitan data penglibatan kontraktor bumiputera dalam pembinaan ECRL menerusi artikel yang disiarkan portal berita baru-baru ini.

Terkini, inisiatif tambahan yang sedang diambil oleh pihak China Communications Construction Company Ltd (CCCC) adalah kerjasama dengan pihak kerajaan negeri-negeri yang terlibat bagi penglibatan kontraktor bumiputera kategori G1 dan G2 bagi skop kerja yang bersesuaian.

“Pihak CCCC sedang dalam proses menyenarai pendek syarikat Kontraktor Bumiputera G1 dan G2 yang telah disyorkan oleh pihak Kerajaan negeri- negeri yang terlibat dan panggilan penyertaan tender akan dibuat dalam masa terdekat.

“Pihak MRL juga menjangkakan nilai kontrak bagi syarikat bumiputera akan terus meningkat menerusi kerja-kerja pembinaan landasan dual gauge dari Stesen ECRL Pelabuhan Klang (Jalan Kastam) ke dermaga Westports dan Northport,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Kontrak EPCC yang telah ditandatangani pada 1 November 2016 antara pihak MRL selaku pemilik Projek ECRL dan pihak CCCC selaku kontraktor utama Projek ECRL telah menetapkan CCCC akan melantik subkontraktor dan pembekal tempatan untuk sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kerja-kerja sivil Projek ECRL (tidak termasuk kerja-kerja terowong).

Jumlah itu telah ditingkatkan kepada 40 peratus hasil rundingan semula kontrak EPCC antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan China yang telah termaktub di dalam Perjanjian Tambahan Kontrak EPCC bertarikh 12 April 2019.

Maka, nilai kontrak kerja-kerja tersebut dianggarkan berjumlah sehingga RM10.8 bilion bagi pelaksanaan Projek ECRL dari tahun 2017 hingga tahun 2026.

Pihak MRL ingin memaklumkan bahawa setakat 30 November 2023, sejumlah RM13.64 bilion nilai kontrak iaitu melepasi sasaran RM10.8 bilion telah dianugerahkan kepada syarikat tempatan yang terdiri daripada syarikat kontraktor, perunding dan pembekal tempatan.

Jumlah tersebut merangkumi sebanyak RM1.20 bilion bagi kerja-kerja kontrak Projek ECRL di Kelantan bagi RM6.18 bilion di Terengganu, RM5.62 bilion di Pahang dan RM0.64 bilion di Selangor yang melibatkan sejumlah 2,801 syarikat tempatan secara keseluruhan.

“Dari jumlah ini, kami ingin memperjelaskan bahawa nilai kontrak yang telah dianugerahkan kepada pihak kontraktor, perunding dan pembekal bumiputera setakat 30 November 2023 adalah sebanyak RM2.66 bilion atau 76.07% dari sasaran RM3.50 bilion.

Dari jumlah nilai RM2.66 bilion tersebut, sebanyak RM1.69 bilion telah dianugerahkan kepada syarikat kontraktor bumiputera,
RM0.28 bilion kepada syarikat perunding bumiputera dan RM0.69 bilion kepada syarikat pembekal bumiputera,” katanya.

Jumlah RM1.69 bilion yang telah dianugerahkan kepada syarikat kontraktor Bumiputera tersebut adalah melibatkan 172 pakej kontrak (28 di Kelantan, 79 di Terengganu, 50 di Pahang dan 15 di Selangor) kepada 129 syarikat kontraktor bumiputera bagi kerja-kerja Projek ECRL di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Ia merangkumi antaranya kerja-kerja tanah (At-Grade), kerja-kerja jambatan dan pembinaan stesen.

“Ingin dimaklumkan juga bahawa sejak tahun 2017 lagi sehingga kini, pihak MRL dan CCCC telah bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri-Negeri yang terlibat iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor bagi mempertingkatkan lagi penglibatan kontraktor Bumiputera di dalam Projek ECRL.

“Pihak kerajaan negeri-negeri yang terlibat, masing-masing telah menubuhkan jawatankuasa koordinator khas dan juga telah melantik syarikat milik Kerajaan Negeri khusus bagi tujuan pengesyoran kontraktor bumiputera negeri untuk melalui proses pra-kelayakan (Pre-Q).

Antara keperluan yang telah ditetapkan di dalam Pre-Q tersebut adalah syarikat perlu memiliki sijil-sijil yang berkaitan termasuk sijil pengesahan taraf bumiputera untuk layak disenarai pendek.

Seterusnya kontraktor bumiputera yang telah disenarai pendek akan dipanggil oleh pihak CCCC untuk penyertaan Tender bagi skop-skop kerja yang berkaitan.

Pelaporan mengenai Penglibatan Syarikat Tempatan di dalam Projek ECRL dibuat secara bulanan oleh pihak CCCC. Pihak MRL juga turut memberi taklimat dan mengemaskini butiran maklumat mengenai penglibatan syarikat tempatan dan bumiputera kepada setiap kerajaan negeri-negeri yang terlibat dari masa ke semasa.

Pihak MRL juga telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan bagi tujuan memberikan satu lagi platform bagi kontraktor Bumiputera di negeri-negeri yang berkaitan untuk berpeluang turut serta dalam pembinaan Projek ECRL.

Pihak MRL juga mengambil maklum akan isu berkaitan faktor komersil dan lain-lain kekangan dalam penentuan tawaran Tender Projek ECRL dan pihak kami sentiasa bersedia untuk membantu menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan kepada pihak MRL oleh pihak-pihak yang berkepentingan.- MalaysiaGazette