Zulkarnain membuat laporan di Balai Polis Karamunsing di sini meminta Bukit Aman menyiasat hubungan kartel dadah Sabah yang telah ditangkap dengan pemimpin Warisan Bahagian Sepanggar baru-baru ini.

KOTA KINABALU – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendesak pihak berkuasa menyiasat dakwaan Parti Warisan Sabah (Warisan) menerima dana daripada kartel dadah untuk membiayai dua pilihan raya sebelum ini.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, salah seorang kartel dadah itu kini berada dalam tahanan polis yang membiayai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) di Sabah.

“Pada 3 Januari 2024, kira-kira  1 petang di Jalan Sulaman, saya menerima maklumat daripada individu yang tidak kenali menyatakan kartel dadah yang kini berada dalam tahanan pihak polis.

“Dia adalah salah seorang penyumbang dana bagi Parti Warisan Bahagian Sepanggar pada PRU-15 dan PRN16 di Sabah sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini

Terdahulu Zulkarnain membuat laporan di Balai Polis Karamunsing di sini meminta Bukit Aman menyiasat hubungan kartel dadah Sabah yang telah ditangkap dengan pemimpin Warisan Bahagian Sepanggar baru-baru ini.

Tambahnya, lebih memeranjatkan apabila individu tersebut mendakwa pejabat operasi Warisan di Alam Mesra di sini juga dimiliki kartel dadah berkenaan.

“Laporan polis ini dibuat bagi menyampaikan kebimbangan orang awam sama ada betul atau tidak mengenai khabar angin pemberian dana kepada Warisan Bahagian Sepanggar.

“Laporan polis ini dibuat meminta Bukit Aman, SPRM dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengambil tindakan mengikut undang-undang.

“Sekiranya tuduhan pemberi maklumat betul mengenai pemberian dana oleh kartel dadah kepada Parti Warisan Bahagian Sepanggar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette