KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad mengesahkan kediaman Menteri Besar Selangor telah diceroboh masuk oleh tiga pengamal media.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Saifuddin berkata, beliau terkejut dengan tindakan mereka yang memasuki kediaman Datuk Seri Amirudin Shari dengan cara begitu.
“Kejadian itu telah diserahkan kepada polis bagi tindakan susulan,” katanya.
Difahamkan mereka memaklumkan kepada pengawal untuk memasuki kediaman tersebut kerana ada mesyuarat.
Mereka dipercayai mahu berjumpa dengan Amirudin tetapi tidak mengikut saluran yang betul.
Ketiga-tiga mereka yang berusia antara 31 hingga 35 tahun telah ditahan bersama sebuah kereta Proton Waja yang digunakan.
Video tangkapan itu yang berdurasi 29 saat juga viral di platform media sosial sejak lewat malam tadi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung pencerobohan tersebut kira-kira pukul 6.10 petang daripada pembantu operasi di kediaman rasmi MB Selangor.
Jelasnya siasatan mendapati kesemua suspek menggunakan sebuah kereta memasuki kediaman tersebut melalui pondok pos pengawal utama tanpa mengemukakan sebarang jemputan secara rasmi daripada pihak kerajaaan negeri.
“Suspek memberi alasan untuk menghadiri satu mesyuarat yang diadakan di kediaman rasmi MB Selangor tetapi tidak mempunyai jemputan secara rasmi daripada pihak MB Selangor.
“Semakan mendapati mereka bekerja sebagai pengamal media di sebuah media tempatan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kesemua mereka kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan. Jika sabit salah, boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau denda yang boleh sampai RM 1,000 atau dengan kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya insiden seumpama ini. -MalaysiaGazette