GAZA – Serangan berterusan Israel bukan sahaja menyebabkan hampir 9,000 bayi dan kanak-kanak mati di Gaza tetapi juga menyebabkan berpuluh-puluh ribu yang lain cacat.
Menurut Pengarah Save the Children for Palestine, secara purata lebih 10 kanak-kanak menjadi cacat dengan sekurang-kurangnya hilang satu anggota badan sejak serangan dilakukan pada 7 Oktober lalu.
Dalam satu kenyataan, Jason Lee menjelaskan, situasi kemanusiaan begitu teruk di seluruh Gaza dan memberi amaran bahawa pembunuhan dan mencacatkan merupakan satu bentuk pencabulan hak kanak-kanak.
Dia juga melihat doktor dan jururawat di Semenanjung Gaza yang “penuh hiba apabila kanak-kanak datang dengan luka letupan yang mengerikan”.
“Penderitaan kanak-kanak dalam konflik ini tidak dapat dibayangkan dan lebih-lebih lagi kerana ia tidak perlu dan boleh dielakkan sepenuhnya,” kata beliau.
Tegasnya, melihat kanak-kanak dalam kesakitan amat sangat dan tidak mempunyai peralatan, ubat untuk merawat atau mengurangkan kesakitan adalah terlalu pedih untuk ditanggung walaupun untuk seorang profesional yang berpengalaman.
Lee juga menggesa “penjenayah mesti bertanggungjawab” kerana penderitaan kanak-kanak seperti itu merupakan “pelanggaran berat” yang patut dikutuk.
Sistem kesihatan di Gaza kini telah runtuh selepas Israel dengan sengaja mengebom hospital dan pusat perubatan selain membunuh doktor, jururawat dan petugas Bulan Sabit Merah Palestin.-Agensi