Gambar hiasan

PEKAN – Taktik seorang lelaki berpura-pura sebagai musafir berteduh di masjid terbongkar apabila ditahan kerana mencuri duit tabung rumah ibadat itu sejak awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan kes kecurian tabung di Masjid Saidina Abu Bakar, Kampung Kuala Lanar, Kuala Lipis melibatkan kerugian RM150 semalam.

“Hasil maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lipis berjaya membuat serbuan dan tangkapan pada jam 1.25 pagi tadi di hadapan sebuah rumah di Taman Fah Choon,” katanya dalam kenyataan.

Superintendan Azli Mohd Noor

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan bersama sebuah kereta Proton Waja berwarna Perak, serangkai anak kunci kereta berserta alat kawalan jauh, pakaian, topi, pisau pemotong, dua batang spanar dan dua batang spanar plug.

Katanya, suspek mendedahkan penglibatannya dalam tiga kes curi tabung masjid di daerah Lipis dan dua di daerah Raub menggunakan kereta Proton Waja yang dicuri di Tapah pada 23 Disember lalu.

Dengan tertangkapnya lelaki terbabit, Azli berkata, polis berjaya menyelesaikan lima kes pecah tabung masjid dan satu kes kecurian kenderaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Suspek juga boleh dihukum penjara 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri kenderaan.

“Suspek bergerak aktif bermula awal Januari dengan mensasarkan masjid-masjid tepi jalan utama dengan berpura-pura sebagai musafir yang sedang berehat dalam masjid.

“Suspek melakukan jenayahnya pada waktu awal pagi sekitar jam 3 pagi hingga 11 pagi,” tambah Azli.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamin dan suspek yang mempunyai 20 rekod jenayah lampau ditahan sehingga 12 januari untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette