Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tuduhan Perikatan Nasional (PN) merasuah Yang di-Pertuan Agong dengan jumlah RM1 bilion untuk menjatuhkan kerajaan adalah satu fitnah melulu yang jelik, keterlaluan dan tidak masuk akal.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fitnah jahat itu disambut pula oleh beberapa tokoh Pakatan Harapan (PH) termasuk mereka yang berjawatan dalam kerajaan.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) percaya mereka yang membuat dan menyebar fitnah tersebut melakukan kesalahan berat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

“Laporan polis telah dibuat oleh Ketua Pembangkang merangkap Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya mereka yang berkenaan disiasat dan diambil tindakan tegas.

“Saya mengingatkan pemimpin PH dan konco-konconya supaya tidak mengheret institusi raja berperlembagaan dalam taktik fitnah politik yang amat jahat dan kotor ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Setiausaha Sulit Ketua Pembangkang, Ahmad Ikhwan Fadhli telah membuat laporan di Balai Polis Jalan Dang Wangi di sini terhadap dakwaan yang tular dalam media sosial menuduh Hamzah sebagai dalang di sebalik perbuatan tersebut.

Muhyiddin mengingatkan pihak terbabit agar jangan memfitnah individu lain semata-mata untuk menutup pekung kelemahan dan kegagalan diri sendiri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh memberitahu, Malaysia mempunyai peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan cara-cara serta kaedah yang sah dalam pelantikan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan.

“Perlembagaan Persekutuan membenarkan sebuah kerajaan dibentuk sama ada melalui pilihan raya atau di luar pilihan raya, iaitu apabila atas apa jua sebab Perdana Menteri meletakan jawatan.

“Peruntukan perlembagaan ini mestilah dipatuhi dalam menentukan sebarang pembentukan atau pertukaran kerajaan,” kata bekas Perdana Menteri itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.