Dr Ooi Keng Boo (kiri) dan Dr Garry Tan Wei Han (kanan) menerima pengiktirafan daripada Penolong Pengurus Besar Pemasaran MBOR, Aaron Bong Keng Jin.

KUALA LUMPUR – Universiti UCSI baru-baru ini mencipta sejarah dengan menerima pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBR) sebagai universiti pertama di Malaysia menerbitkan jurnal dalam Harvard Data Science Review.

Naib Canselor UCSI, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, pengiktirafan tersebut diperoleh selepas ahli akademik UCSI memimpin pasukan penyelidikan yang terdiri daripada lima orang menerbitkan kertas kerja berjudul Cabaran Data Kritikal dalam Mengukur Prestasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs): Penyelesaian dan Peranan Analitik Data Besar”.

“Universiti UCSI telah mengekalkan statusnya sebagai salah satu universiti swasta terbaik di Asia dalam Ranking Universiti Dunia QS 2024 dengan menduduki di tangga ke-300.

“Rekod ini menunjukkan bahawa ahli akademik universiti ini mampu menjalankan penyelidikan yang berimpak besar.

“Kami sangat gembira dengan pengiktirafan ini dan saya yakin pencapaian ini akan mendorong pelajar dan kakitangan UCSI untuk melakukan lebih banyak penyelidikan pada masa depan.

“Pencapaian ini juga mencerminkan penekanan UCSI terhadap bidang penyelidikan dan dapat diterbitkan dalam jurnal terkemuka yang berkait rapat dengan Harvard dan MIT bukan sesuatu yang mudah,” katanya ketika majlis pengiktirafan MBR semalam.

Menurutnya, ulasan yang dilancarkan oleh Inisiatif Sains Data Harvard dan MIT Press itu merupakan jurnal yang mendapat penilaian tertinggi.

Tambah beliau, ulasan tersebut berfungsi sebagai sumber berwibawa bagi para profesional dan ahli akademik dalam bidang sains data yang semakin berkembang pesat.

Katanya, UCSI diwakili oleh Prof Madya Dr Mehrbakhsh Nilashi, Prof Ulung, Dr Ooi Keng Boo dan Prof Kanan, Dr Garry Tan Wei Han yang merupakan pensyarah di Sekolah Perniagaan Siswazah UCSI dan Dr Nilashi juga merupakan pengarang utama kertas tersebut.

Beliau berkata, Prof Keng Boo dan Garry turut mendapat pengiktirafan sebagai rakyat Malaysia pertama yang menerbitkan dalam ulasan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast