BERLIN – Akram Afif menjaringkan dua gol buat tuan rumah Qatar dalam perlawanan pembukaan kejohanan Piala Asia 2023 pada Jumaat sekali gus menundukkan Lubnan dengan jaringan 3-0.
Gol pembukaan dihasilkan pada separuh masa pertama sebelum Almoez Ali menyumbang jaringan kedua pada minit ke-56, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Sementara itu, perlawanan Kumpulan A yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu bakal menyaksikan pertemuan antara China dan Tajikistan manakala Australia akan menentang India untuk perlawanan Kumpulan B.
Kejohanan itu sebelum ini dijadualkan pada 2023 di China tetapi negara itu menarik diri kerana pandemik Covid-19.
Qatar yang pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 mengambil alih untuk menjadi tuan rumah buat kali ketiga selepas penganjuran pada tahun 1988 dan 2011.
Kejohanan kali ini bakal mengetengahkan 24 pasukan dan akan berlangsung sehingga 10 Februari. – BERNAMA