KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan dua beradik lelaki di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata tangkapan dibuat pada 11 Januari lepas di sekitar Kuala Lumpur dan individu berkenaan masih dalam tahanan reman.
Ahmad Faizal berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah menjalankan siasatan kes itu sebagai amang seksual susulan penemuan seorang daripada dua beradik itu di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni pada 11 Januari lepas.
Semalam, ibu mangsa yang berusia 39 tahun dilapor berkata anaknya yang mesra dengan panggilan Along, 17, mendakwa dia dan adiknya, yang berusia 16 tahun telah dilarikan oleh individu yang tidak dikenali sebelum dibawa dan dikurung di sebuah motel di Jalan Petaling.
Media sebelum ini melaporkan dua beradik lelaki dilaporkan hilang pada pagi 1 Januari lepas, selepas pulang dari solat Subuh di surau berdekatan perumahan mereka. – BERNAMA