Friday, December 13, 2024
Home Sukan Hoki kalah lagi, peluang ke Sukan Olimpik makin sukar

Hoki kalah lagi, peluang ke Sukan Olimpik makin sukar

Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation. Copyright Rodrigo Jaramill.
KUALA LUMPUR – Skuad hoki lelaki negara memilih jalan sukar untuk menamatkan kemarau 24 tahun layak ke pentas Olimpik selepas tewas 1-4 kepada Great Britain pada saingan peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman awal pagi tadi.
Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut anak buah A. Arul Selvaraj di Stadium Hoki Oman itu selepas tewas kepada China 2-3 pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan A, kelmarin.
Keputusan dicatat pada perlawanan awal pagi tadi itu sekali gus menyaksikan Great Britain yang berada kedudukan keempat dunia mengungguli kedudukan kumpulan dengan enam mata.
Sementara itu, China di tempat kedua berkongsi tiga mata dengan Pakistan di tempat ketiga manakala Malaysia di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Bagaimanapun, China, Pakistan dan skuad negara masing-masing berkongsi jumlah jaringan yang sama .
Speedy Tigers tidak mempunyai pilihan lain selain perlu menumpaskan Pakistan dengan jaringan besar serta mengharapkan Great Britain menumpaskan China pada perlawanan terakhir kumpulan Jumaat ini sekali gus berada di dua kedudukan teratas kumpulan bagi melayakkan diri ke saingan separuh akhir.
Kejohanan Kelayakan Olimpik 2024, di Muscat merupakan pentas terakhir bagi semua pasukan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan tiga pasukan terbaik kejohanan akan meraih slot ke temasya terbesar dunia itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast