KUALA LUMPUR – Bekas pemain import Pulau Pinang, Merzagua Abderrazak dilantik menggalas jawatan sebagai Pengarah Teknikal Penang FC.
Pelantikan beliau merupakan strategi utama yang selaras dengan aspirasi kelab dalam terus membina asas yang kukuh untuk masa hadapan.
“Penang FC mengucapkan selamat bertugas buat Merzagua Abderrazak dan percaya beliau akan memperkukuh dan memartabatkan pembangunan bola sepak Kelab.
“Beliau telah memulakan tugasnya secara rasmi di Penang FC bermula pada 1 Januari 2024,” tulis Penang FC dalam satu hantaran di Facebook miliknya, di sini.
Sementara itu, nama Merzagua tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kancah bola sepak Malaysia khususnya kepada penyokong fanatik Pulau Pinang.
Mencipta nama sebagai hero ketika Pulau Pinang mendakap kejuaraan Liga Perdana Satu pada tahun 1998, dengan aksi memukau sehingga dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik selama tiga tahun berturut-turut bermula pada Anugerah Bola Sepak Negara 1996 sehingga tahun 1998.
Kenangan paling menakjubkan ialah pada tanggal 1 Ogos 1998 ketika aksi bertemu Selangor di Stadium Shah Alam di mana ketajaman dan skil individu Merzagua berjaya untuk menjaringkan gol kemenangan dan seterusnya Pulau Pinang meraih kejuaraan liga dengan kelebihan satu mata mengatasi pasukan Pahang.
Selepas Persatuan Bolasepak Malaysia melarang penggunaan pemain import bermula 1999, memori dan nama Merzagua tetap bersama peminat bola sepak Pulau Pinang yang tidak puas untuk melihat kehebatan pemain kelahiran Maghribi terus beraksi di bumi Malaysia.
Bagaimanapun jiwa dan kecintaan Merzagua kepada Pulau Pinang sekali lagi tersemai apabila dipelawa untuk mengembalikan maruah bola sepak pada tahun 2013 ketika suasana bola sepak Pulau Pinang agak suram akibat prestasi yang merudum sejak 2009.
Magis Merzagua sekali lagi ditagih untuk membawa kejayaan buat Harimau Kumbang apabila membawa Pulau Pinang merangkul kejuaran Liga FAM 2013 selepas mencatat 17 kemenangan daripada 20 perlawanan.
Atas faktor lesen kejurulatihan, Merzagua sekali lagi terpaksa tinggalkan Pulau Pinang buat kali kedua. – MalaysiaGazette