Bicara Tokoh bersama Yang di-Petua Dewan Negara, Tan Sri Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berjudul 'Akta Anti Lompat Parti dan Kestabilan Kerajaan' di Pejabat Majlis Profesor Negara, Kajang. Foto SYADILA AMARI, 19 JANUARI 2024.
Wan Juanidi Tuanku Jaafar

KAJANG – Sekiranya kerajaan berusaha untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Kerajaan Sepenggal maka pindaan itu akan menggugurkan kuasa Perdana Menteri untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menentukan pembubaran Parlimen dan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU).

Itu pandangan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut beliau, sekiranya langkah itu diambil, Perdana Menteri juga tidak lagi mempunyai kuasa bagi menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan tarikh  pilihan raya kerana berdasarkan kepada tempoh lima tahun pentadbiran.

“Tapi kalau kita tetapkan tarikh pilihan raya (PRU) itu dalam masa lima tahun, maknanya kuasa Perdana Menteri itu yang kita tarik sebenarnya.

“Kuasa Perdana Menteri adalah untuk menentukan bila boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mohon baginda untuk membubarkan Dewan Rakyat, itu ditetapkan di antara baginda dengan Perdana Menteri.

“Walaupun ada dalam Perlembagaan mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa iaitu kuasa yang kedua iaitu menangguhkan pembubaran Dewan Rakyat apabila diminta oleh Perdana Menteri tetapi berapa lama Yang di-Pertuan Agong menangguhkan itu tidak ada disebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Bicara Tokoh bersama berjudul Akta Anti Lompat Parti dan Kestabilan Kerajaan anjuran Majlis Profesor Negara di sini hari ini.

Wan Junaidi minta mengulas cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya satu RUU berkenaan digubal bagi membolehkan kerajaan yang mentadbir selepas PRU dapat dikekalkan sehingga satu penggal berakhir.

Ahmad Zahid berkata, undang-undang tersebut perlu diwujudkan bagi mengelak kesengsaraan rakyat berulang sebagaimana berlaku pada PRU-15 di mana terdapat tiga Perdana Menteri di dalam satu penggal.

Untuk rekod, Perdana Menteri perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menasihatkan Seri Paduka berhubung pembubaran Parlimen namun baginda boleh menolak sekiranya tidak bersetuju.

Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata, sekiranya RUU tersebut dilaksanakan, tiada istilah undemocratic (tidak demokratik) sekiranya Putrajaya bercadang untuk memperkenalkan akta berkenaan ketika sidang Dewan Rakyat.

Ini kerana, banyak negara sudah mengamalkan sesuatu tempoh bagi pentadbiran seseorang pemimpin dalam penggal tertentu.

“Kalau kita lihat ini (Parlimen berpenggal tetap) sebagai undemocratic, banyak negara dunia ini (disifatkan sebagai) undemocratic sebab terma mereka (kerajaan mereka) adalah tetap.

[…ini juga bermakna fixed term president (tempoh perkhidmatan presiden) yang dilaksanakan di Amerika Syarikat, Filipina atau Indonesia itu juga undemocratic sebab term (tempoh) mereka (presiden) adalah tetap,” katanya lagi. – MalaysiaGazette