Pengerusi Grennovo, Leon Ma (kiri) memberikan penerangan operasi syarikat itu kepada Muhammad Sanusi sambil diperhatikan Dr. Haim Hilman dan Wong Chia Zen di Gejiu City, Yunnan Province, China, semalam. Foto - Ihsan Urusetia Penerangan Darul Aman.

ALOR SETAR – Konsep mesra pelabur yang diamalkan Kerajaan Negeri Kedah berjaya memberi impak besar dalam menarik pelaburan baharu ke negeri itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia susulan syarikat dari China, Greennovo Enviromental Technology Co. Ltd. menerusi syarikat kerjasamanya, Xin Sheng Environmental (M) Sdn. Bhd. menyatakan hasrat  menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkonsepkan hijau.

”Syarikat yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Padang Meha, Kulim, itu sedang mempertimbangkan Malaysia sebagai tapak untuk pusat tersebut.

“Saya mengalu-alukan hasrat tersebut, komitmen kita ialah untuk memudahcara sebarang urusan dalam setiap proses yang perlu dijalani oleh pelabur, termasuk Greennovo dan Xin Sheng.

“Meskipun tertakluk kepada prosedur dan peraturan sedia ada, kerajaan negeri menerusi agensinya seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengamalkan konsep mesra pelabur bagi mempermudahkan urusan selain menjimatkan masa dan kos pelabur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, delegasi pelaburan Kedah yang diketuai Muhammad Sanusi mengadakan lawatan kerja ke Greennovo yang terletak di Gejiu City, Wilayah Yunnan, China.

Hadir sama, dua anggota Exco Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah dan Wong Chia Zen serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Datuk Elmi Yusoff dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Kedah, Sharifah Zakiah Syed Shahab.

Tambah Muhammad Sanusi, konsep mesra pelabur yang diamalkan kerajaan negeri telah berjaya menarik pelaburan sejak tiga tahun berturut-turut bermula 2021 termasuk melepasi sasaran pelaburan tahunan RM10 bilion.

Sementara itu, Pengerusi Greennovo, Leon Ma berkata, syarikat itu juga berhasrat untuk mengembangkan lagi operasinya dengan membuka kilang memproses dan menukarkan serbuk zinc oxide kepada zinc ingot sebagai prospek masa hadapan.

Greennovo merupakan sebuah firma pengeluar produk berasaskan keluli daripada jenis zink dan mempunyai lebih 20 kilang di beberapa negara, termasuk Mesir, Vietnam dan Thailand. – MalaysiaGazette