KUALA LUMPUR – Kadar inflasi keseluruhan Malaysia kekal 1.5 peratus pada Disember 2023 dengan mata indeks mencatatkan 131.2 berbanding 129.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan inflasi ini telah didorong oleh peningkatan perlahan restoran & hotel, 3.7 peratus (November 2023: 4.3%); pelbagai barangan dan perkhidmatan, 2.7 peratus (November 2023: 2.3%) dan makanan & minuman bukan alkohol, 2.3 peratus (November 2023: 2.6%).

Walau bagaimanapun, kumpulan utama lain yang menunjukkan peningkatan adalah kesihatan, 2.5 peratus (November 2023: 2.3%) dan pengangkutan 0.3 peratus (November 2023: 0.1%).

Kumpulan makanan & minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP terus merekodkan peningkatan sederhana 2.3 peratus berbanding 2.6 peratus pada November 2023.

Komponen makanan di rumah meningkat kepada 1.3 peratus berbanding 1.4 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya.

Kenaikan komponen makanan di rumah adalah didorong terutamanya oleh subkumpulan beras, roti & bijirin lain, 3.0 peratus (November 2023: 3.1%), diikuti oleh subkumpulan susu, keju & telur dan gula, jem, madu, coklat & manisan masing-masing meningkat 2.6 peratus dan 2.2 peratus.

Sementara itu, komponen makanan di luar rumah mereda kepada 3.4 peratus berbanding 3.9 peratus yang direkodkan pada November 2023.

Peningkatan inflasi subkumpulan beras, roti & bijirin lain sebanyak 3.0 peratus pada Disember 2023 disumbangkan oleh kelas perbelanjaan beras yang mencatatkan peningkatan perlahan 4.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada November 2023.

Beras import dan beras wangi import masing-masing mencatatkan peningkatan 10.1 peratus (November 2023: 10.1%) dan 6.0 peratus (November 2023: 7.0%) pada Disember 2023.

Manakala, kelas perbelanjaan Tepung & bijirin lain menurun kepada negatif 0.3 peratus (November 2023: 0.2%).

Inflasi subkumpulan susu, keju & telur meningkat 2.6 peratus pada bulan Disember 2023 (November 2023: 2.9%) dipacu kelas perbelanjaan susu tepung & keluaran susu lain (3.8%), telur (0.9%) dan susu cair/ susu pekat (0.7%).

Sementara itu, inflasi subkumpulan minyak & lemak mencatatkan kenaikan marginal kepada 0.1 peratus (November 2023: -0.1%).

Mekanisme penetapan harga minyak masak yang masih kekal dari 8 Disember 2023 hingga 7 Januari 2024 dan sedikit sebanyak dapat mengimbangi kenaikan inflasi subkumpulan ini.

Subkumpulan daging yang merangkumi daging ayam, daging lembu, daging babi, daging kambing, daging kerbau dan daging itik mencatatkan kenaikan kepada 1.0 peratus pada bulan Disember 2023 (November 2023: -0.2%). Bagi perbandingan bulan ke bulan, subkumpulan ini turut mencatatkan kenaikan 1.2 peratus (November 2023: -0.5%).

Ayam yang merupakan komponen terbesar merangkumi 46.1 peratus dalam subkumpulan daging masih mencatatkan penurunan
negatif 1.4 peratus berbanding negatif 4.6 peratus pada bulan November 2023.

Purata harga ayam standard Malaysia menurun kepada RM10.18 sekilogram berbanding RM10.31 sekilogram pada bulan Disember 2022 (November 2023: RM9.96).

Bagi perbandingan bulan ke bulan, daging ayam meningkat 2.5 peratus pada Disember 2023 (November 2023: -1.1%) dipengaruhi oleh faktor peningkatan permintaan daging ayam berikutan musim perkahwinan pada musim sekolah.

Kenaikan perlahan bagi kumpulan restoran & hotel 3.7 peratus (November 2023: 4.3%) terutamanya didorong oleh peningkatan kedua-dua
subkumpulan Perbelanjaan di restoran & kafe, 4.0 peratus (November 2023: 4.3%) dan perkhidmatan penginapan 2.4 peratus (November 2023: 4.2%).

Walau bagaimanapun, inflasi kumpulan pelbagai barangan & perkhidmatan meningkat 2.7 peratus berbanding 2.3 peratus pada November 2023. didorong oleh kenaikan subkumpulan barangan peribadi pada 9.4 peratus (November 2023: 7.2%).

Mohd Uzir berkata, inflasi keseluruhan secara tahunan pada 2023 meningkat 2.5 peratus (2022: 3.3%) disebabkan kenaikan kumpulan restoran & hotel, 5.6 peratus (2022: 5.0%); makanan & minuman bukan alkohol, 4.8 peratus (2022: 5.8%) dan pelbagai barangan & perkhidmatan, 2.4 peratus (2022: 2.0%).

Manakala inflasi keseluruhan secara bulanan menunjukkan kenaikan 0.2 peratus (November 2023: 0.0%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast