GAZA CITY – Tentera Israel dilaporkan telah membunuh 190 rakyat Palestin di Gaza dalam tempoh 24 jam lalu dan menyebabkan 340 cedera dalam serangan dan pengeboman berterusan.
Menurut Kementerian Kesihatan di wilayah itu pada Isnin, jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan maut Israel ke atas kawasan yang dikepung sejak 7 Oktober meningkat kepada 25,295 orang.
Kenyataan kementerian berkata, 63,000 yang lain telah cedera dalam serangan itu dalam tempoh yang sama.
“Ramai orang masih terperangkap di bawah runtuhan kerana penyelamat tidak dapat mencapai mereka,” tambahnya.
Pejabat media Gaza juga berkata, tentera Israel mengebom lima pusat pelarian yang menempatkan 30,000 penduduk Gaza yang mencari perlindungan.
Kawasan terbabit adalah Pusat Perlindungan Universiti Al-Aqsa, Penginapan Kolej Universiti, Pusat Perlindungan Sekolah Khalidiya, Pusat Perlindungan Sekolah Al-Mawasi dan Pusat Perlindungan Industri Khan Younis.
“[Israel] mendakwa mereka adalah pusat selamat dan menyeru rakyat untuk berlindung di dalamnya. Kemudian melakukan pembunuhan beramai-ramai yang menyebabkan ramai syahid.
“Ini adalah dalam rangka perang pembunuhan beramai-ramai yang dilancarkan oleh pendudukan terhadap orang awam, kanak-kanak dan wanita, di Semenanjung Gaza,” katanya dalam kenyataan di Telegram.
Selain Israel, menurutnya, tanggungjawab untuk jenayah yang berterusan itu terletak pada masyarakat antarabangsa, pentadbiran AS, dan Presiden AS Joe Biden secara peribadi.
“Merekalah yang memberi lampu hijau kepada pendudukan untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai ini, dan mereka juga enggan menghentikan perang kejam di Semenanjung Gaza ini”.-Agensi