Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mempengerusikan Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 19 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia akan bermesyuarat untuk membincangkan pemilihan calon bagi mengisi kekosongan jawatan Yang Di-Pertua Dewan Negara, malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat itu perlu disegerakan untuk mencari pengganti Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Kita bincang dan kita juga ada mesyuarat Kerajaan Perpaduan malam ini.

“Kita bincang supaya dapat disegerakan pelantikannya,” katanya kepada pemberita di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Wan Junaidi dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung desas-desus peletakan jawatan sebagai Speaker Dewan Negara dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette