Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius dakwaan penganjur Himpunan Selamatkan Rakyat yang mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu menyebabkan pihaknya Istana Negara membuat laporan polis beberapa jam sebelum perhimpunan tersebut diadakan pada jam 10.30 pagi semalam.

“Di dalam Istana itu, seharusnya berlaku satu perkara iaitu memaklumkan memohon untuk penyerahan apa juga tujuan satu perhimpunan itu dibuat.

“Hakikat bahawa merujuk perhimpunan semalam, pihak pegawai Istana membuat laporan polis pada 22 Januari 2024, beberapa jam sebelum perhimpunan berlaku.

“Secara jelas dalam aduan itu dimaklumkan bahawa pihak Istana tidak pernah seperti disebut beri perkenan untuk terima menghadap (YDPA).

“Hebahan penganjur bahawa YDPA telah memberi perkenan untuk wakilnya masuk menghadap dan menyerahkan dokumen dan sebagainya

“Itu mengundang pihak pegawai Istana untuk membuat laporan polis,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komioner Amihizam Abdul Shukor berkata, polis tidak menerima sebarang notis daripada pihak penganjur.

Polis juga tidak menerima permohonan permit berhubung penganjuran Himpunan Selamatkan Rakyat dan penyerahan memorandum oleh sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembela Tanah Air (PETA), di Istana Negara.

Terdahulu, tular di media sosial melalui hantaran oleh Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard yang mengajak orang ramai menyertai Himpunan Rakyat #daulattuanku dan penyerahan memorandum di Istana Negara, semalam.

Sehubungan itu KDN, katanya, akan menubuhkan pasukan bertindak untuk menyiasat penganjur yang gagal memaklumkan kepada polis tentang perhimpunan itu dan dakwaan diterima masuk menghadap YDPA.

“Saya percaya perkara ini akan diuruskan oleh pasukan polis iaitu di bawah taskforce yang biasanya akan mengambil masa tujuh hari untuk menyelesaikan aduan, siasatan sebelum diserah kepada Peguam Negara.

“Hal ini kerana aduan pihak Istana adalah kerana institusi Istana itu dikatakan memberi perkenan dan ini perbuatan mengheret sama institusi Istana dalam himpunan yang tidak dimaklumkan kepada pihak polis.

“Itu mendorong pihak Istana untuk membuat laporan polis.

“Kami memandang serius insiden ini dan saya percaya pihak polis akan melakukan tindakan sesuai dengan semua arahan siasatan yang diperuntukkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette