Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas hadir bagi dua kes menyebut perkataan menghasut di Mahkamah Sesyen Selayang untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 24 JANUARI 2024.

SHAH ALAM – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyangkal dakwaan kononnya beliau cuba melengah-lengahkan kes prosiding mahkamah yang sedang dihadapinya berkenaan dua pertuduhan menghasut.

Sebaliknya beliau berkata, dakwaan berkenaan hanya andaian sahaja.

Jelasnya, permohonan untuk dikemukakannya memindahkan dua pertuduhan menghasut yang dihadapinya dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada pihaknya dibuat mengikut prosedur undang-undang.

“Saya buat permohonan ini secara ikut undang-undang. Ikut saluran, kalau saya nak lewat-lewatkan macam ahli politik pondan balut tengkuk pun boleh tapi saya tidak buat macam itu, saya mohon ikut prosedur.

“Saya rasa ini harus diberi perhatian saya dari segi moral saya sedang tunjuk contoh yang baik, ikut undang-undang, ikut proses. Dakwaan saya cuba lengah-lengahkan andaian mereka sahaja. Selama saya boleh lalu, saya lalu, itu sahaja,” katanya kepada media di sini hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 1 Februari ini sebagai tarikh prosiding pendengaran permohonan

Sanusi memindahkan dua kes pertuduhan menghasut dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Shah Alam.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan berkenaan selepas mempertimbangkan permohonan yang dibuat oleh peguam mewakili menteri besar tersebut, Hasshahari Johari Mawi yang memerlukan masa untuk membalas jawapan daripada pendakwa raya.

“Pihak kami akan memberi jawapan yang balas kepada afidavit yang dikemukakanpihak responden itu,” kata peguam tersebut.

Dalam masa yang sama, Mahkamah Tinggi turut memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan balas pada atau sebelum 29 Januari ini.

Sebelum itu, peguam mewakili Muhammad Sanusi meminta tempoh selama dua minggu untuk mengemukakan jawapan balasan.

Bagaimanapun hakim berpendirian tempoh tersebut terlalu panjang.

Sebagai rekod, Muhammad  Sanusi dihadapkan dua pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik pada 11 Julai 2023.-MalaysiaGazette