Gambar Arkib MalaysiaGazette

Oleh: Dr. Mohd. Khairul Naim Che Nordin

AWAL tahun 2024 ini bakal menyaksikan Gaza, Palestin yang memegang rekod antara tempat terpadat di dunia kini turut menjadi tempat paling berbahaya di dunia. Lebih 23,000 orang telah terbunuh dan 59,000 cedera. Dari jumlah yang terbunuh, dianggarkan 10,000 adalah kanak-kanak. Badan Kemanusiaan, Save the Children melaporkan secara puratanya 10 kanak-kanak kehilangan anggota badan setiap hari sejak 7 Oktober 2023. UNICEF pada 8 Januari 2024 melaporkan 90% kanak-kanak di Gaza kini tidak mendapat makanan berzat dan ia kenaikan ketara berbading 80% dua minggu yang lepas.

Rekod ini sangat mengerikan kerana ia hanya berlaku dalam tempoh tiga bulan sahaja. Tanggal tahun baru 2024, sejarah mencatatkan Gaza sebagai bandar paling teruk dihentam bom di abad ke-21, sebaris Dresden dan Hamburg sewaktu Perang Dunia Kedua. Euro-Med Human Rights Monitor melaporkan 25,000 tan bom telah dijatuhkan di Genting Gaza yang hanya berkeluasan 45 km persegi. Ia menyamai ledakan dua bom nuklear! Sebagai perbandingan, The Little Boy iaitu bom nuklear yang dijatuhkan di Hiroshima, Jepun berskala 15,000 tan letupan dan membunuh segalanya dalam radius 1.6km.

Namun, kerana ledakan di Gaza tidak terjadi dengan sekali hentaman maka masyarakat dunia khususnya Amerika Syarikat menghalalkan tindakan ini. Ia demi kononnya atas alasan melindungi kedaulatan rejim Israel. Sejumlah AS$14.5 bilion dana bantuan ketenteraan telah diluluskan oleh kerajaan Amerika kepada Israel, dan semua itu demi menentang wilayah tanpa pasukan ketenteraan rasmi dan terkepung oleh tembok batu dan lautan.

Wall Street Journal pula melaporkan 300,000 dari 439,000 kediaman musnah dibom menjadikan 70% rumah yang sepatutnya menjadi perlindungan kini diratakan oleh pengeboman maha dahsyat dan mengerikan rejim Zionis. Apa yang berlaku kini merupakan pembunuhan beramai-ramai yang melanggar pelbagai konvensyen peperangan dan undang-undang antarabangsa, dilakukan secara terang dan berleluasa serta disaksikan oleh semua orang. Hospital dijadikan sasaran bom dan bantuan kemanusiaan seperti perubatan dan makanan disekat.

Oleh itu apa yang terjadi ini bukannya peperangan tetapi suatu pembunuhan besar-besaran yang seolah bermatlamat untuk mengosongkan bumi Gaza. Inilah dakwaan yang dikemukakan oleh Afrika Selatan dalam penghujahannya kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Ia tidak perlu disangkal kerana buktinya boleh diakses secara mudah di internet.

Data-data seperti di atas akan terus berubah setiap detik selagi mana serangan rejim berterusan. Ia mungkin memakan masa lebih panjang dan ini akhirnya akan menyebabkan kita leka dan memandang biasa data-data luar normal di atas. ‘Stamina’ dan perhatian kita kepada sesuatu isu biasanya tidak bertahan lama. Lihat sahaja pelbagai isu yang melanda tanah air setiap hari sama ada berkait agama, politik, ekonomi dan hiburan.

Malangnya, isu picisan yang biasanya mendapat rating perhatian tertinggi di media sosial, seperti masalah rumah tangga orang lain atau aib-aib yang berlaku kepada seseorang pempengaruh. Ini ditambah lagi dengan sekatan yang dilakukan oleh gergasi media sosial yang mengawal kandungan tentang perang di Gaza seperti yang dilaporkan oleh
al-Jazeera.

Walau apapun yang berlaku, perhatian kita sewajibnya tidak terpaling walau seinci dari apa yang berlaku di Palestin kini. Dalam Islam, kecaknaan terhadap Muslim yang lain walaupun sekadar dengan mengambil tahu adalah merupakan cerminan iman. Terlalu banyak hadis Nabi SAW yang memberi pesanan kepada setiap Muslim untuk bersatu, berganding bahu dan menjaga kebajikan serta kepentingan Muslim yang tidak bernasib baik.

Hadis yang sangat dekat mencirikan apa yang belaku di Palestin kini adalah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya iaitu: “Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama tubuh badan. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau
merasakan demam”.

Di Malaysia, kita mampu tidur nyenyak tanpa dikejutkan dengan dentuman bom, mampu makan apa yang diidamkan tanpa perlu meminta-minta dan mampu hidup sihat tanpa disakiti. Namun keselesaan ini suatu yang terlalu berharga bagi saudara semuslim di Palestin. Justeru, salah satu kaedah dalam kita mensyukuri nikmat kedamaian yang Allah kurniakan adalah dengan membantu mereka sedaya mungkin melalui pelbagai cara. Ia bermula dengan rasa bersama yang melahirkan sikap cakna dan seterusnya berusaha melakukan apa sahaja walaupun mungkin sahaja yang termampu adalah melalui doa dan menunjuk rasa.

Rejim zionis Israel kini dalam usaha mengawal sepenuhnya Gaza, dengan isyarat awal diberikan oleh Netanyahu bahawa kerajaannya dalam perancangan mengawal sempadan Rafah. Ia disebut memakan masa dan itu juga sebagai isyarat bahawa pengeboman akan terus berlangsung secara rawak pada awal 2024 ini. Oleh demikian itu, menjadi kewajipan kita agar stamina kecaknaan kita dengan isu Palestin ini terus dibugarkan.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya