KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia, tiga ikon usahawan wanita akan sepentas bagi memberi inspirasi kepada generasi baharu untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan.
Ketua Pegawai Eksekutif SCSB, Azlina Amran berkata, Wacana Srikandi yang dianjurkan SACC Convec Sdn. Bhd. (SCSB) diadakan khusus untuk memperingati peranan wanita dalam pelbagai bidang masing-masing.
“Tiga ikon tersebut ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Chatime Malaysia, Aliza Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Avenys Malaysia Sdn Bhd, Aleeya Zailan dan penerima Anugerah Inspirasi Pesona Wanita Johor, Masitah Mohd Affandy yang akan terlibat dalam forum bual bicara wanita bertajuk Wanita Inspirasi Ikon Berkualiti pada program itu yang dihoskan oleh Fedtri Yahya.
“Forum ini dijangka memberikan pencerahan kepada tetamu yang hadir mengenai peranan wanita dalam dunia yang kian mencabar ini. Kami berharap perkongsian kejayaan mereka dalam bidang keusahawanan akan memberikan manfaat kepada mereka yang hadir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wacana tersebut bakal berlangsung 5 Mac akan dirasmikan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
“Program ini juga menjadi medium untuk berkongsi kisah pahit manis dan kejayaan tokoh-tokoh wanita kontemporari di Malaysia dengan harapan kisah mereka dijadikan panduan untuk menghadapi cabaran yang mendatang.
“Bertemakan ‘Memperkasa Wanita, Mengarus Perdana Gender’, program ini juga menawarkan pelbagai acara menarik yang akan menyentuh aspek keusahawanan, seni dan pembangunan diri,” kata Azlina lagi.
Mereka yang berminat untuk menyertai program Wacana Srikandi boleh membuat pembelian tiket melalui www.myticket.asia – MalaysiaGazette