JOHANNESBURG – Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa dan anggota kerajaannya menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memerintahkan Israel untuk tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam operasi ketenteraannya di Gaza.
Ramaphosa menyaksikan siasatan langsung keputusan ICJ.
“Biar sejarah mencatat bahawa #Afrika Selatan memimpin masyarakat antarabangsa dalam perjuangan untuk memberi makna kepada “tidak pernah lagi”….! Rakyat #Palestine juga mempunyai hak untuk hidup,” Clayson Monyela, jurucakap Jabatan Perhubungan Antarabangsa dan Kerjasama menulis di X.
Setiausaha Agung Parti Kongres Nasional Afrika (ANC), Fikile Mbalula pula berkata: “Ia adalah penghakiman bagi semua orang yang ingin melihat keamanan di Palestin,”.
Afrika Selatan memfailkan tuntutan kepada ICJ pada 29 Disember lalu, meminta injunksi terhadap Israel atas alasan serangan rejim zionis ke atas Gaza melanggar Konvensyen Genosid.
Presiden Cyril Ramaphosa akan membuat kenyataan mengenai perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Menyampaikan keputusan sementara dalam kes pembunuhan beramai-ramai di The Hague pada hari Jumaat, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengarahkan Israel untuk mengambil “semua langkah dalam kuasanya” untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Namun, ICJ gagal untuk mengarahkan gencatan senjata.
ICJ juga memerintahkan Israel mengambil langkah segera dan berkesan untuk membolehkan penyediaan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan di Semenanjung Gaza. – Agensi