Khairil Nizam Khirudin.

KUALA LUMPUR – Kenaikan cukai perkhidmatan digital daripada enam peratus kepada lapan peratus memberikan kesan kepada pengguna.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, ia ditambah dengan beberapa pengenalan cukai baru seperti Cukai Barangan Bernilai Rendah (LVGT), peningkatan SST dari enam peratus kepada lapan peratus serta perluasan skop SST.

Turut dinaikkan oleh kerajaan iaitu Cukai lapan peratus untuk perubatan komplimentari dan alternatif serta dan Cukai barang bernilai tinggi (HVGT) 10 peratus yang diperkenalkan bermula tahun ini.

“Ini sekaligus memberikan kesan kepada pengguna melalui ripple effect yang berlaku disebabkan oleh kenaikan dan pengenalan cukai-cukai tersebut, terutama peningkatan harga oleh pembekal perkhidmatan serta peniaga dalam talian.

“Kenaikan juga dijangka berlaku bagi aktiviti dalam talian yang berkaitan seperti kos pengiklanan dalam talian, penyiaran kandungan, aplikasi mudah alih serta platform teknologi digital yang merupakan sebahagian daripada komponen penting bagi pengguna dalam era digital masa kini.

“Kenaikan ini sudah pasti memberikan kesan kepada pengguna kerana penyedia perkhidmatan sudah pasti akan memindahkan kos-kos kenaikan ini kepada pengguna, lebih-lebih lagi sekiranya tindakan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga berkali ganda disebabkan kenaikan dua peratus ini.

“Tidak mustahil, anggaran kenaikan harga boleh melebihi kadar dua peratus sekiranya tiada langkah-langkah berkesan daripada pihak Kerajaan untuk mengawal dan memantau kesan kenaikan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khairil Nizam, siri-siri pertambahan cukai ini sudah pasti memberikan kesan kepada kuasa beli dan ekonomi rakyat secara umum yang akan terbeban disebabkan peningkatan harga bagi sektor pasaran platform e-dagang yang bernilai RM460.8 bilion pada tahun 2022.

“Pas juga melihat ketidakupayaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan serta Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi yang kini sedang mengalami kesukaran untuk menjana pendapatan tambahan kepada negara serta terpaksa menggunakan langkah mudah dan tidak kreatif iaitu memperkenalkan cukai-cukai baharu yang tidak efisien dan menekan lapisan terbawah dalam rantaian ekonomi iaitu pengguna.

“Pas menggesa supaya kerajaan mencari kaedah lain yang lebih sesuai untuk menjamin pendapatan yang lebih mapan dan seimbang kepada ekonomi negara dalam masa yang sama tidak membebankan pengguna dan rakyat terbanyak amnya,” tambahnya. – MalaysiaGazette