Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) boleh menerima calon daripada Pas untuk diangkat sebagai Perdana Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) diberi mandat oleh pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe ChaiĀ  melihat Pas tidak lagi menyentuh perkara-perkara yang membabitkan kaum bukan Melayu dan bukan Islam dan ia merupakan satu perkara yang baik.

Perkara itu kata beliau dinyatakan sendiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Muktamar parti itu pada tahun lepas.

“Perhimpunan agung tahunan tahun lepas (Muktamar Pas) Tok Guru (Abdul Hadi) sebagai presiden telah menegaskan bahawa mereka akan fokus kepada bukan Melayu dan bukan Islam.

“Memang dalam ucapannya dia mintak Gerakan beri tumpuan untuk Gerakan dapatkan sokongan undi bukan Islam…ini merupakan tanda yang baik bahawa Pas sudah tahu bahawa negara kita bukan Melayu sahaja, ada bukan Melayu bukan Muslim, ada Cina, ada India, ada Orang Asli.

“Yang kedua saya pun ada terdengar daripada Pas, mereka ada buat pemukiman untuk menjadikan Pas sebagai pilihan yang utama sekali bagi pengundi-pengundi di Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang budaya.

“Oleh itu, bila ada hala tuju seperti ini, maksudnya Pas jika ada pemilihan atau cadangan calon Perdana Menteri kita bukan nampak ia dari segi parti mana…kita pun tak tunjuk dia dari kaum yang mana, agama yang mana, budaya yang mana tak ada,” katanya pada sesi temu bual khas bersama media di Ibu Pejabat Parti Gerakan di sini hari ini.

Beliau sebelum ituĀ  ditanya sama ada Gerakan boleh menerima sekiranya calon daripada Pas diangkat sebagai Perdana Menteri jika PN menjadi kerajaan.

Untuk rekod, Pas mempunyai lebih 40 ahli Parlimen menjadikan parti tersebut lebih majoriti dalam PN berbanding gabungan parti-parti lain seperti Bersatu dan Gerakan.

Dalam pada itu, Dominic yakin apa-apa pencalonan daripada PN untuk pelantikan Perdana Menteri akan dibincang bersama pimpinan Majlis Tertinggi supaya calon tersebut merupakan calon yang terbaik untuk mengemudi negara.

“Tak kisah ia daripada Bersatu ke, Pas ke, Gerakan ke ke tak kisah…PN akan buat perbincangan bersama-sama dengarkan pandangan walaupun berlainan, kita buat keputusan bersama-sama,” ujarnya. – MalaysiaGazette