SHAH ALAM – Kolej Universiti Lincoln menyahut seruan kerajaan dengan memperkasakan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan mempersiapkan graduan dengan kepakaran pekerjaan yang semakin mencabar kini.
Canselornya, Prof Dr Norman Madsen berkata, transformasi dibuat dalam sistem pengajian Lincoln bagi memastikan graduan yang dihasilkan mengikut kehendak dan pasaran pekerjaan semasa.
“Kolej Universiti Lincoln merancang untuk bekerjasama dengan lebih banyak syarikat berkaitan TVET supaya dapat menempatkan graduan dalam bidang pekerjaan berkaitan kelak.
“Hala tuju dalam kehidupan penting untuk dijadikan sebagai panduan tentang cara hidup, nilai, dan kelakuan serta prinsip kehidupan untuk bergerak ke hadapan.
“Sebab itu Lincoln mengambil pendekatan untuk melakukan transformasi khususnya berkaitan dengan pengukuhan TVET,” katanya pada Majlis Konvokesyen di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, baru-baru ini.
Kolej Universiti Lincoln merupakan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini yang bertaraf dunia dan lebih memfokuskan kepada pasaran global.
Ketika ini, Lincoln mempunyai seramai 439 graduan dari sembilan Fakulti Pengajian serta Pusat Pengajian Pasca siswazah.
Dari jumlah itu, seramai 60 graduan menerima ljazah Doktor Falsafah (PhD) Sarjana (169), Sarjana Muda (167) Diploma (34) dan Sijil Pos Basik Perawatan Renal (9).
Sementara itu, Presidennya, Profesor Dr Amiya Bhaumik berkata, pusat pengajian itu mempunyai ‘Double Degree’, sekali gus menjadikan Kolej Universiti Lincoln sebagai sebuah hab pendidikan yang terbaik di Asean.
Katanya, pusat pengajian itu juga memberi fokus dalam membantu pelajar asnaf B40 dari segi bantuan tajaan pelajaran daripada Yayasan Lincoln milik Kolej Universiti Lincoln.
“Ramai pelajar Jurusan Kejururawatan Lincoln ditaja sepenuhnya hospital swasta di Malaysia di beberapa hospital yang mempunyai kekurangan jururawat dan mereka terus bekerja dengan hospital tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















