MELAKA – Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dua penuntut lelaki sebuah universiti awam di negeri ini, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Zulkarnain Atan, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua pelajar lelaki masing-masing berusia 21 tahun dengan cara mencium telinga, bahu dan meraba payu dara serta paha mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya di bilik sebuah rumah di Jalan TU, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, di sini, kira-kira pukul 12 tengah malam 15 Januari lalu.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua dari hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.
Tertuduh yang masih bujang dan tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan rendah dengan alasan dia hanya bekerja sebagai perunding motivasi, mengalami penyakit slip disc dan turut menjalani rawatan mental.
Selepas mendengar hujahan kedua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat tambahan pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 27 Mac ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam – MalaysiaGazette
















