KUALA LUMPUR – Dua warga asing yang cuba menyogok polis kerana melakukan kesalahan lalu lintas menerima padah apabila mereka ditahan anggota pasukan keselamatan itu pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohamad Hatta Che Din berkata, insiden berlaku apabila dua pegawai rendah polis dari Balai Polis Seremban 2 yang membuat tugasan ronda cegah jenayah menahan dua perempuan warga Indoensia di Jalan Rasah, Seremban, Negeri Sembilan kerana tiada lesen memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar.
“Ekoran dari itu OKS (Orang Kena Saman) telah cuba menyogok wang kepada anggota polis berkenaan walaupun tiga amaran telah diberikan,” katanya menerusi kenyataan.
Berikutan itu, menurut Mohamad Hatta, kedua-dua wanita tersebut ditangkap oleh anggota berkenaan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 kerana kesalahan memberi rasuah.
Semalam tular di laman media sosial, Telegram, tentang tangkapan dua perempuan warga Indonesia di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban 2.
Mohamad Hatta berkata, anggota polis terbabit akan dianugerahkan surat penghargaan kerana mempamerkan integiri yang tinggi dalam isu membenteras rasuah. – MalaysiaGazette