Nga Kor Ming

IPOH – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, negara akan berdepan risiko muflis jika tidak serius dalam melaksanakan dua reformasi, iaitu merasionalisasi subsidi dan menghapuskan pencen untuk penjawat awam lantikan baharu.

Beliau berkata, kerajaan perlu membelanjakan RM33.4 bilion untuk membayar pencen pesara pada tahun ini dan jumlah itu adalah sama dengan jumlah bajet untuk Perak selama 33 tahun.

“Jika reformasi tidak dilakukan, maka jumlah pencen akan cecah RM120 bilion setahun pada 2040,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.

Beliau yang juga Ketua DAP Perak berkata, reformasi akan menyebabkan sakit sekejap tetapi menolak reformasi pula akan menyebabkan sakit seumur hidup.

“Dua reformasi ini adalah penting untuk masa depan ekonomi negara. Jika tidak, negara tidak akan dapat terus membangun dan mungkin akan muflis pada bila-bila masa pada 2040,” katanya.

Beliau berkata, usaha memansuhkan pencen untuk lantikan baharu adalah satu langkah politik yang berisiko buat kerajaan

“Tiada siapa yang berani menjolok sarang tebuan ini, sesiapa yang menjolok dia akan mati (disengat).

“Cuma Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berani untuk mengambil risiko besar ini demi reformasi.

“Kami memerlukan sokongan semua untuk mengelakkan generasi akan datang menanggung hutang,” katanya.

Menurutnya, kerajaan akan melakukan rasionalisasi subsidi bermula April dan harga minyak, bekalan air dan elektrik akan mengalami kenaikan pada kadar tertentu.

Katanya, kerajaan bagaimanapun juga akan menyediakan agihan tunai kepada rakyat.

Kor Ming justeru meminta rakyat mendaftar dalam Pangkalan Data Utama atau Padu.

Ujarnya , kegagalan mendaftar mungkin menyebabkan mereka tidak dapat memperoleh subsidi yang diberikan kerajaan.

Katanya, subsidi pada masa ini bukan sahaja dinikmati rakyat Malaysia, tetapi juga oleh 3.5 juta pekerja asing yang tidak membayar cukai.

“Struktur subsidi sekarang adalah mengarut dan tidak munasabah. Semua orang sedar masalah ini, tetapi tiada siapa yang berani bertindak sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Haaa lawak..berapa perbelanjaan pencen dlm bajet? 10% pun tak sampai…kerajaan berhutang bukan sebab nak bayar pencen..malahan duit KWAP pun kerajaan bukan nak ditingkatkan tapi disakau lagi…ko ingat rakyat bodoh kaa? Kau hapuskan GST..ko berhutang keliling pinggang..ko tak da idea nak kukuhkan ekonomi negara..akhirnya kakitangan kerajaan dan pencen ko salahkan yer…ko ingat rakyat bodoh kaaa??

Comments are closed.