PARIS – Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi globalnya untuk 2024 kepada 2.9% berbanding 2.7% unjuran yang dibuat pada November lalu.

Unjuran ini berdasarkan pertumbuhan 3.1% tahun lepas dengan inflasi menurun lebih cepat daripada yang dijangkakan, kata organisasi itu dalam laporan Tinjauan Ekonomi Interim Februari.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global diunjurkan meningkat pada 2025 untuk mencapai 3%, hasil daripada keadaan kewangan yang mudah, sejajar dengan laporan sebelumnya.

OECD turut menyemak semula pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) sebanyak 0.6 mata peratusan kepada 2.1% untuk 2024, disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan keadaan pasaran buruh yang kukuh, tetapi membiarkannya tidak berubah pada 1.7% untuk 2025.

Dengan aktiviti yang ditahan disebabkan keadaan kredit yang ketat dalam tempoh terdekat, KDNK zon euro dianggarkan meningkat 0.6% tahun ini dan 1.3% tahun depan, masing-masing disemak ke bawah sebanyak 0.3 mata peratusan dan 0.2 mata peratusan.

OECD telah mengekalkan unjuran pertumbuhan China pada 4.7% pada 2024 dan 4.2% pada 2025 disebabkan oleh permintaan pengguna yang lemah, hutang yang tinggi dan pasaran hartanah yang lemah.

OECD meramalkan inflasi akan kembali kepada sasaran di kebanyakan negara G20 menjelang akhir tahun depan dengan angka utama jatuh daripada 6.6% tahun ini kepada 3.8% pada 2025.

Inflasi teras dalam ekonomi maju G20 akan berkurangan kepada 2.5% tahun ini dan 2.1% tahun depan, tambahnya.

OECD memberi amaran pertumbuhan boleh menjadi lebih lemah daripada jangkaan jika kesan berlarutan daripada kenaikan kadar dasar masa lalu adalah lebih kuat daripada jangkaan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast