PUTRAJAYA – Prosedur dan tatakelola yang tidak seragam di beberapa negeri ‘meletihkan dan memenatkan’ pengamal undang-undang mahkamah syariah.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, pendekatan meletihkan itu perlu diselaraskan bagi memudahkan prosedur dan tata kelola kehakiman dan perundangan mahkamah syariah di seluruh negara.
“Secara peribadi, pengalaman saya beramal di beberapa negeri, prosedur dan tatakelola yang tidak selaras antara negeri, agak ‘meletihkan’ dan ‘memenatkan’ kami pengamal-pengamal undang-undang di Mahkamah Syariah.
“Contoh mudah, tuntutan pengesahan lafaz cerai atau poligami, ada negeri yang memulakan prosiding dengan Saman dan Pernyataan Tuntutan, tetapi ada juga negeri yang menggunakan Permohonan dan Afidavit. Mengapa perkara sekecil ini tidak dapat kita diselaraskan?
“Begitu juga sesetengah peruntukan undang-undang terdapat di sesetengah negeri, akan tetapi tidak terdapat di negeri lain,” katanya dalam Wacana Kehakiman dan Perundangan Syariah 2024, di sini, hari ini.
Hadir sama adalah Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohd Amran Mat Zain.
Dalam pada itu, Musa berkata, cabaran terhadap Mahkamah Syariah begitu hebat.
Katanya, keputusan-keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah dibawa dan di cabar ke mahkamah sivil.
“Kes Indira Gandhi A/P Mutho melawan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan Ors and Other Appeala [2018]; Kes Iki Putra Mubarak melawan Kerajaan Negeri Selangor [2021]; dan kes Nik Elin Zurina Binti Abdul Rashid melawan Kerajaan Negeri Kelantan bakal diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada Jumaat ini, 9 Februari 2024,” katanya.
Tambah Musa, sekiranya kerajaan tidak menyelaraskannya, beliau mendakwa sudah pasti akan ada pihak yang akan menggunakan kelemahan itu sebagai senjata mereka untuk mencabar kehakiman dan perundangan syariah. – MalaysiaGazette