PERAI – Tidak ubah seperti tindakan cuba membunuh diri.
Itu gambaran yang sesuai bagi seorang penunggang p-hailing apabila motosikal yang ditungganginya diubah suai sehingga tidak mempunyai brek belakang.
Kesalahan penunggang berusia 30-an itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menerusi Ops Motosikal di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang malam tadi.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati penunggang itu melakukan tiga kesalahan pengubahsuaian iaitu tidak mempunyai brek, menggunakan tayar bersaiz kecil dan ‘lower arm’ lebih panjang.
“Tindakan itu mengundang bahaya kepada penunggang terbabit terutamanya apabila motosikalnya didapati tiada brek belakang yang begitu penting untuk keselamatan.
“Penunggang terdedah kepada risiko kerana dia bertugas di jalan raya untuk menghantar pesanan makanan kepada pelanggan.
“Malah, kita juga tidak menolak kemungkinan motosikal ini digunakan untuk kegiatan merempit susulan pengubahsuaian yang dilakukan ke arah tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi.
Terdahulu, sebanyak 453 motosikal diperiksa dalam operasi selama tiga jam bermula pukul 8 malam itu. Selain itu, sebanyak 181 notis saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Tambah Zulkifly, pihaknya menyita 13 motosikal dalam operasi sama termasuk sebuah milik lelaki kelainan upaya (OKU) masalah pendengaran susulan tiada lesen serta cukai jalan.
Dalam perkembangan lain, Zulkifly berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 7,691 buah kenderaan pada Ops Khas Perayaan Tahun Baharu Cina bagi tempoh antara 1 hingga 7 Februari lalu di seluruh Pulau Pinang.
Katanya, sebanyak 1,175 kenderaan telah diambil tindakan dan 2,221 notis saman dikeluarkan, manakala 108 kenderaan yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya turut disita. – MalaysiaGazette