GEORGE TOWN – Pulau Pinang berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport utama negara pada Disember tahun lepas walaupun negeri itu merupakan negeri kedua terkecil di Malaysia.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang secara konsisten berada di kedudukan tiga teratas dalam sumbangan ekonomi, pertumbuhan dan tarikan pelaburan ke arah negara ini.
“Malah, jumlah itu amat memberangsangkan kerana kita berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport utama negara pada Disember tahun lalu.
“Lima negeri mendominasi eksport negara yang mana menyumbang sebanyak 81 peratus dan saya gembira Pulau Pinang berada pada kedudukan nombor satu dengan RM37.3 bilion,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Sempena Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Kebajikan 88 Captains, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu adalah Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isterinya Toh Puan Khadijah Mohd Noor serta Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid dan Pengerusi Persatuan Kebajikan 88 Captains Datuk Seri Dr Ooi Eng Hock.
Chow berkata Pulau Pinang juga berada di landasan untuk mencatat satu lagi tahun yang hebat pada tahun ini dalam pelaburan pembuatan yang telah diluluskan.
Suku ketiga 2023 menunjukkan aliran masuk FDI pembuatan yang diluluskan berjumlah RM35.8 bilion iaitu peningkatan enam kali ganda berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Pulau Pinang sekali lagi menunjukkan peranan sebagai penyumbang utama kepada pelaburan langsung asing (FDI) pembuatan negara dengan menguasai 42 peratus bagi pembuatan utama di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata antara negara yang mempunyai FDI pembuatan teratas di Pulau Pinang ialah Belanda, Amerika Syarikat dan Singapura yang kesemuanya menyumbang 95 peratus kepada pelaburan pembuatan yang diluluskan di negeri ini.
“Saya yakin kejayaan ekonomi kita adalah berita baik untuk semua rakyat negeri ini terutama generasi muda yang mempunyai tempat untuk mencari rezeki di tapak yang kita sediakan sekarang,” katanya.
Sementara itu, Ooi berkata menerusi majlis tersebut, Persatuan Kebajikan 88 Captains berjaya mengumpulkan kutipan dana sebanyak RM2.4 juta bagi menyediakan biasiswa kepada belia kurang berkemampuan di negeri ini yang melanjutkan pengajian di universiti atau kolej tempatan.
Katanya, peruntukan itu mampu membiaya pelajar-pelajer untuk tahun ini serta tahun depan dalam usaha membantu mereka mendapatkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
“Mana-mana pelajar yang mahu memohon biasiswa, boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web Persatuan Kebajikan 88 Captains dan ia terbuka kepada mereka golongan B40 dan M40.
“Setiap pelajar akan diberikan kira-kira RM15,000 hingga RM20,000 bagi menampung yuran pendidikan termasuk kos sara hidup dan apa yang kita mahu ialah mereka menjadi pelajar yang berkualiti,” katanya. – BERNAMA