Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiring pegawai penjara hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Bekas penasihat Undang-Undang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan mula memberi keterangan pada prosiding penyelewengan dana !MDB yang membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau mendakwa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sering menonjolkan dirinya sebagai proksi kepada bekas Perdana Menteri selain menjawat jawatan Lembaga Penasihat 1MDB.

Katanya, Jho Low sering mendakwa mengenali dan rapat dengan Najib selain mampu mempengaruhinya.

Ketika membacakan keterangan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, beliau berkata, sesuatu perkara besar yang memerlukan kelulusan Najib perlu dibincang dengan Jho Low terlebih dahulu.

Tambahnya, Jho Low juga akan memberi arahan kepadanya untuk menyediakan dokumen syarikat yang memerlukan tandatangan Najib.

“Saya akan sediakan dan maklumkan kepada Datuk Shahrol Azmi (CEO 1MDB). Setelah serahkan dokumen, saya tidak tahu bagaimana Jho Low dapatkan tandatangan Datuk Seri Najib.

“Sepanjang bekerja di 1MDB, saya hanya berjumpa dengan Najib secara beramai-ramai dalam acara atau mesyuarat pengurusan syarikat. Tidak pernah bersemuka secara sendirian,” katanya.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Terdahulu, Jasmine turut mendedahkan bagaimana perkenalan beliau dengan Jho Low ketika bekerja sebagai penasihat undang-undang di UBG Berhad, iaitu sebuah syarikat disenarai bawah Bursa Malaysia dengan gaji sebanyak RM45,000 antara tahun 2009 Januari sehingga April 2011.

Difahamkan di UGB, Jho Low adalah pengarah syarikat tersebut dan kali pertama mengenalinya ketika sesi temuduga syarikat tersebut.

Jasmine yang merupakan saksi ke-50 berkata, dia kemudian mendapat tawaran daripada Shahrol Azral yang dikenalinya di UGB mahu beliau menyertai 1MDB pada 2011.

“Jho Low memberitahu saya beliau tidak mempunyai halangan untuk saya sertai syarikat 1MDB dan saya mula bekerja dengan 1MDB pada bulan Mei 2011 sehingga November 2013,” ujarnya.

Prosiding akan bersambung pagi esok. – MalaysiaGazette