ISTANBUL – YouTube, platform perkongsian video terbesar di dunia dengan lebih daripada 2 bilion pengguna aktif, menyambut ulang tahun ke-19 pada bulan ini.
Sosial media ini diasaskan pada 14 Februari 2005 oleh tiga usahawan dan kemudian dibeli oleh syarikat gergasi teknologi Google dengan harga AS$1.65 bilion, hanya setahun setengah selepas penubuhannya.
YouTube yang telah menjadi sebahagian daripada ekosistem Google sejak tahun 2006, kini mencapai jumlah pengguna aktif sebanyak 2.7 bilion pada tahun ini. Menurut data yang dikumpulkan oleh Anadolu, ia juga dijangka meningkat kepada 2.85 bilion pengguna aktif pada tahun 2025.
Lebih daripada separuh netizen di seluruh dunia melawat YouTube sekurang-kurangnya sekali sebulan, menjadikan platform ini mencatatkan kira-kira 113 bilion lawatan bulanan.
Versi tanpa iklan, YouTube Premium dan YouTube Music, baru-baru ini mencatat 100 juta pengguna di seluruh dunia.
YouTube bukan hanya platform untuk hiburan, tetapi ia juga menjana kira-kira AS$30 bilion dalam hasil iklan tahunan, yang menjadi sumber utama pendapatan platform ini.
India menduduki tempat pertama dalam senarai negara dengan jumlah pengguna YouTube terbanyak pada bulan Januari tahun ini, dengan 462 juta pengguna, diikuti oleh Amerika Syarikat di tempat kedua dengan 239 juta pengguna. Sementara itu, Turki menduduki kedudukan ke-11 dengan 57.5 juta pengguna aktif.
Dengan kira-kira 46.1% daripada pengguna platform ini adalah wanita dan 53.9% adalah lelaki, video berdurasi 720,000 jam dimuat naik dalam TouTube setiap hari. Golongan umur terbesar yang menggunakan platform ini adalah di antara 15 dan 45 tahun.
Platform perkongsian video ini dianggap sebagai sumber pendapatan penting bagi pencipta kandungan, yang juga dikenali sebagai YouTuber. Istilah “YouTuber” merujuk kepada individu, kumpulan atau syarikat yang menghasilkan kandungan video di platform ini.
Menurut data tahun 2022, pengguna YouTube menonton video berdurasi lebih daripada satu bilion jam setaip hari dan salah seorang pencipta kandungan, MrBeast, menduduki tempat pertama dalam senarai pendapatan tertinggi dengan pendapatan sekitar AS$54 juta setahun.
Diikuti oleh vlogger AS, Jake Paul (AS$45 juta), pemerhati permainan video dan pelakon, Markiplier (AS$38 juta), serta pasangan penghibur Rhett dan Link (AS$30 juta). Unspeakable, seorang pencipta yang menjalankan cabaran untuk penontonnya, menduduki tempat kelima dengan pendapatan $28.5 juta. – Agensi