Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan mewujukan satu gred Beras Putih Malaysia Madani.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, cadangan tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan datang.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ingin menjelaskan kekeliruan yang berlaku susulan pengumuman yang dibuat oleh YB Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal Ahli Parlimen Bukit Gantang pada 14 Februari 2024.

“Buat masa ini belum ada ketetapan yang dibuat ke atas cadangan beliau untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

“KPKM bersetuju dengan kenyataan YAB Perdana Menteri semalam yang memaklumkan cadangan tersebut akan dibincangkan secara kolektif dalam Mesyuarat NACCOL akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Artikel berkaitan:Beras Madani: Jangan permainkan pemain industri – Pengilang

Beras Madani ini apa, bila beras SST dihapuskan? – Ameer Mydin

Pemborong tak tahu tentang beras Madani, kenapa bukan menteri umum

Menurut Mohamad, sebarang pengumuman atau ketetapan perlu berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kilogram (kg) sekampit berkuat kuasa 19 Februari dan dijangka berada di pasaran bermula 1 Mac.

Syed Abu Hussin Hafiz yang mengetuai Task Force (Kluster Makanan) NACCOL berkata ini bermakna tiada lagi kategori Beras Putih Tempatan (SST) dan Beras Putih Import (SSI) melainkan Beras Putih Malaysia Madani sebagai kategori tunggal.

Beliau berkata dalam tempoh 19 Februari hingga 1 Mac 2024, kerajaan memberi masa kepada pemain industri beras untuk membuat penyelarasan dengan membenarkan semua jenis pembungkusan lama dijual sehingga stok pengampitan di pemborong habis.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau yakin harga beras yang dikawal dapat dikurangkan selepas beberapa perincian diteliti dalam mesyuarat khas NACCOL yang dijangka berlangsung minggu depan.

Katanya, dalam mesyuarat itu nanti beberapa cadangan akan dikemukakan sebelum harga kawalan beras akan diputuskan secara muktamad.- MalaysiaGazette

Beras Putih Malaysia Madani diperkenalkan