Steven Sim

KUALA LUMPUR – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) akan memperuntukkan RM12 juta pada tahun ini untuk melatih 10,000 orang secara percuma sebagai pemberi pertolongan cemas kesihatan mental pekerjaan di tempat kerja seluruh negara.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, penyertaan latihan itu tidak terhad kepada sektor swatsa sahaja, bahkan ia akan melibatkan penglibatan penjawat awam.

“Niosh telah melancarkan satu program latihan baharu kali pertama dilancarkan di Malaysia di mana program untuk melatih memberi pertolongan cemas kesihatan mental pekerjaan.

“Kita harap penyertaan bukan sahaja peringkat sektor swatsa bahkan sektor awam.

“Kita akan melatih individu-individu yang mampu memberikan intervensi awal terutamanya di tempat kerja kepada rakan sekerja yang menghadapi masalah kesihatan mental,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali ke-24 (COSH 2024) dan Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-6 (SCICOSH) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dalam pada itu, beliau berharap persidangan itu dapat membincangkan cabaran serta masalah kesihatan dan keselamatan pekerjaan pada masa ini.

“Seterusnya menghasilkan penyelesaian berkaitan terutamanya untuk kita mereformasikan agenda kesihatan dan keselamatan pekerjaan di Malaysia supaya setaraf dengan negara maju.

“Kementerian Sumber Manusia dan NIOSH akan mengambil berat tentang isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan sahaja dalam bentuk fizikal, tetapi juga dari segi kesihatan mental,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast