Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon meramah mesra bersama alumni PCCP ketika Majlis Peluncuran Perasmian Rumah Perantaraan Wilayah Persekutuan di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 19 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyediakan Rumah Perantaraan di Jalan Raja Alang di sini buat pertama kali bagi membantu penagih dadah di seluruh negara mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan secara sukarela.

Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, objektifnya adalah untuk menyediakan fasiliti yang mempunyai persekitaran yang lebih selamat, bersih dan selesa khusus untuk kumpulan sasar itu.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon menyempurnakan Majlis Peluncuran Perasmian Rumah Perantaraan Wilayah Persekutuan di Rumah Perantaraan Wilayah Persekutuan, Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 19 FEBRUARI 2024.

Tambah beliau, kewujudan Rumah Perantaraan itu adalah hasil kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu mereka yang terkesan dalam najis dadah terus mendapat bimbingan.

“Ia terbahagi kepada dua golongan iaitu, mereka yang pernah mengikuti program rawatan dengan AADK dan telah tamat menjalani program rawatan tapi masih memerlukan bimbingan dan kita sediakan fasiliti untuk mereka datang pada bila- bila masa.

“Kedua, untuk mereka yang tidak pernah mendapat perkhidmatan fasiliti yang disediakan oleh AADK daerah. Mereka boleh terus hadir terus untuk mendaftar dan kita akan buat saringan seterusnya bantua mereka untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan pemulihan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Perkhidmatan Ruma Perantaraan AADK di sini hari ini.

Tambah Sutekno, AADK juga menyediakan pelbagai kemudahan dan akses program serta aktiviti yang mampu meningkatkan proses kepulihan dan pengekalan kepulihan penagih dadah lebih-lebih lagi platform itu bersifat lebih terbuka (community based).

“Sebanyak empat perkhidmatan utama ditawarkan iaitu saringan, penilaian dan kemasukan klien; rujukan dan advokasi; program rawatan dan pemulihan dalam komuniti (RPDK) menggunakan Model i-Pulih AADK yang meliputi komponen biologi, psikologi, sosial dan spritual serta menyediakan pemadanan minat dan kerjaya (SDS-AADK).

“Prosedur pelaksanaan untuk mendapatkan perkhidmatan itu adalah melalui kaedah kemasukan secara sukarela atau walk in, rujukan daripada mana-mana Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) melalui program hijrah atau rujukan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakan pintar dan rakan strategik AADK,” ujarnya.

Beliau juga memaklumkan, Rumah Perantaraan itu dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat bermula 8 pagi hingga 8 malam bagi pendaftaran dan penerimaan klien.

Manakala rujukar waktu pejabat atau cuti umum perlu melalui Talian Hotlien Hello AADK bernombor 1-800-22-AADK (2235) atau Whatsapp di talian 019-626 2233.

“Kita amat mengalu-alukan ahli keluarga hadir supaya mereka juga boleh mendapat sesi bimbingan dan kaunseling kerana mereka ini adalah orang penting dalam proses pemulihan kepada penagih dadah.

“Saya harap masyarakat setempat di sekitar Kuala Lumpur ini boleh menggunakan fasiliti ini dan insyallah kita akan kembangkan lagi di lokasi yang lain,” jelasnya.

Mengulas memgenai isu penagih dadah di ibu negara, Sutekno berkata, terdapat 0.37 peratus daripada 100,000 penuduk atau 370 di ibu negara terbabit dalam penyalahgunaan dadah buat masa ini.

“Untuk menjelang tahun 2025, kita menyasarkan angka itu tidak melebihi 0.4 peratus (400 orang bagi setiap 100,00 penduduk).

“Kita harap angka itu tidak meningkat dan itu yang kita fokuskan iaitu aspek pencegahan dan lebih ramai penagih dadah akan mendapatkan bantuan pemulihan,” katanya. – MalaysiaGazette