Peserta kem ‘NCDRC Glamping Night’ bersama barisan pendidik NCDRC dan mahasiswa UPSI.

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini menganjurkan perkhemahan bernuansa alam, ‘NCDRC Glamping Night’ sebagai inisiatif untuk memberikan pengalaman berbeza kepada kanak-kanak.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, program tersebut dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI.

“Suka saya melihat apabila pendidik dan mahasiswa bekerjasama menghasilkan pembelajaran luar bilik darjah yang kreatif dan berimpak.

“UPSI adalah pusat pembelajaran luar bilik darjah terbaik yang boleh dinikmati oleh masyarakat setempat dan pastinya ini adalah salah satu bukti bahawa UPSI sentiasa komited dalam menerajui kebitaraan pendidikan yang terbaik demi negara.

“Peluang sebegini akan menjadi ingatan manis bagi kanak-kanak untuk mereka melangkah ke satu tahap kehidupan baharu yang penuh dengan cabaran yang tidak diduga,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pengalaman sebenar di luar bilik darjah memberikan pengetahuan mendalam kepada kanak-kanak dalam tempoh mereka membesar.

Katanya, mereka juga akan beradaptasi dengan alam semulajadi untuk menjadi seorang individu yang sentiasa bersedia dengan apa jua halangan yang akan ditempuh pada masa akan datang.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademik, Pembangunan Kanak-kanak dan Sistem Data NCDRC, Dr Masayu Dzainudin berkata, perkhemahan ini dianjurkan bagi memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menikmati percutian dengan merasai dunia alam sekitar.

Ujarnya, mereka juga menyertai dalam aktiviti yang dapat meningkatkan perkembangan mereka dan memberikan pengalaman bermakna.

Menurutnya, sepanjang perkhemahan sepanjang lima hari, kanak-kanak dibimbing oleh fasilitator yang terdiri dari barisan pendidik NCDRC dan mahasiswa UPSI.

“Penganjuran kem ini adalah peluang bagi kanak-kanak untuk belajar lebih dekat dengan alam. Selain daripada pembelajaran baru, program ini juga mampu merangsang perkembangan kanak-kanak dari segi kognitif, psikomotor dan daya tahan tubuh mereka.

“Konsep perkhemahan ini diperkenalkan untuk membantu kanak-kanak belajar untuk hidup dalam alam sekitar dan memberi mereka peluang untuk meneroka persekitaran mereka. Kanak-kanak juga berkesempatan belajar menggunakan kompas semasa meneroka hutan di UPSI Advanture Park,” ujarnya.

Tambah beliau, sebanyak 52 kanak-kanak berusia 5-12 tahun menerima sijil penghargaan sebagai pengiktirafan atas penyertaan penuh mereka dalam kem yang bermula dari 12 hingga 16 Februari lalu. – MalaysiaGazette