Majlis Keselamatan PBB

NEW YORK – Amerika Syarikat (AS)telah memveto satu lagi draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perang Israel ke atas Gaza, menghalang permintaan untuk gencatan senjata segera antara Israel dan Hamas.

Sebaliknya, AS telah mencadangkan draf resolusi saingan yang menggesa gencatan senjata sementara dan menentang serangan darat besar oleh Israel di Rafah.

Negara-negara Arab, yang diketuai oleh Algeria, meletakkan draf resolusi itu untuk undian pada hari Selasa dengan jangkaan ia tidak akan lulus selepas AS – sekutu utama Israel – memberi amaran tidak akan menyokong teks itu dan sebaliknya mencadangkan draf saingan.

AS adalah satu-satunya negara yang mengundi menentang draf teks manakala United Kingdom berkecuali. 13 negara anggota Majlis Keselamatan PBB yang lain mengundi menyokong teks yang menuntut dihentikan perang yang telah membunuh lebih 29,000 orang di Gaza.

Untuk resolusi Majlis Keselamatan PBB diterima pakai, ia memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan tiada veto oleh mana-mana lima ahli tetap: AS, United Kingdom, Perancis, Rusia atau China.

Linda Thomas-Greenfield, Duta Besar AS ke PBB berkata, negaranya memveto resolusi itu kerana bimbang ia akan menjejaskan rundingan antara AS, Mesir, Israel dan Qatar yang bertujuan untuk merenggangkan perang dan pembebasan tebusan yang dipegang oleh Hamas.

Dia menolak dakwaan bahawa veto itu adalah usaha AS untuk menampung pencerobohan darat Israel yang akan berlaku ke bandar paling selatan Gaza, Rafa, yang menjadi lokasi perlindungan bagi kira-kira 1.4 juta orang penduduk yang sudah kehilangan tempat tinggal.

Dalam memperkenalkan resolusi pada hari Selasa, Amar Bendjama, Duta Algeria ke PBB, berkata, majlis itu “tidak mampu bersikap pasif” dalam menghadapi apa yang berlaku di Gaza, dan berdiam diri itu “bukan pilihan yang berdaya maju”.

“Ketetapan ini adalah pendirian untuk kebenaran dan kemanusiaan, menentang penyokong pembunuhan dan kebencian.

“Mengundi menentangnya membayangkan pengesahan keganasan kejam dan hukuman kolektif yang dikenakan ke atas mereka [orang Palestin],” tegasnya.

Algeria, anggota Arab Majlis Keselamatan semasa, mengemukakan draf resolusi awal lebih dua minggu lalu.

Draf Algeria telah dirundingkan selama berminggu-minggu, jadi tindakan AS mengeluarkan drafnya sendiri adalah mengejutkan.

Bays berkata, draf AS belum dibentangkan secara rasmi kepada ahli Majlis, dan tidak jelas sama ada atau bila ia akan diundi.

Resolusi yang digubal Algeria, yang diveto oleh AS, menggesa gencatan senjata kemanusiaan “segera”, berdasarkan perintah interim bulan lalu oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang mewajibkan Israel mengambil langkah untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di wilayah itu.

Ia juga secara berasingan menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan.

Washington secara tradisinya melindungi Israel daripada tindakan PBB dan sebelum ini telah memveto dua lagi resolusi Majlis Keselamatan sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast