MELAKA – Sebut sahaja Klebang pasti ramai yang sudah terbayang untuk bercuti di persisiran pantai Melaka yang biru atau merakamkan gambar di kawasan pasir tambak laut.
Namun, siapa sangka di sebalik itu, wujud satu lagi ‘port’ percutian terbaharu yang tidak kurang hebatnya dalam dusun kelapa sekali gus memberi pengalaman berbeza kepada pelancong.
Daripada sekadar berjalan atau berkhelah menghirup udara pantai, kini mereka boleh memilih sama ada untuk menginap di vila, kubah lutsinar (dome) atau khemah bersama insan tersayang.
Pengalaman unik itu boleh dirasai di The Coco Journey, Klebang Besar, kawasan pelancongan agro inap dusun ala resort pertama di Melaka yang dikelilingi 2,100 pokok kelapa, avokado dan pisang.
Pengarahnya, Owen Koh berkata, idea untuk membuka kawasan seluas 9.3 hektar itu timbul selepas melihat produk sama di Taiwan selain mahu membawa perubahan kepada landskap pelancongan Klebang yang selama ini hanya terkenal dengan pantai.
“Jadi saya fikir, kenapa tidak dipelbagaikan lagi tarikan Klebang dengan membuka kawasan farmstay agrotourism ala resort untuk memberi pilihan kepada pelancong.
“Selepas itu, bermulalah perjalanan saya membuka The Coco Journey sekali gus menjadi produk agrotourism pertama di Melaka menyediakan penginapan dalam kubah lutsinar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Menurutnya selepas dua tahun perancangan, inap dusun itu mula beroperasi pada November tahun lalu sebelum siap sepenuhnya bulan ini melibatkan kos binaan tiga jenis penginapan sahaja bernilai hampir RM2 juta.
“Ia merangkumi enam kubah lutsinar, tujuh khemah yang boleh setiap satu boleh memuatkan sehingga empat orang selain sebuah villa untuk kapasiti 20 pengunjung.
“Semua unit dilengkapi penyaman udara dan tandas sendiri pada harga promosi antara RM388 hingga RM3,000 sehingga Jun ini,” tambahnya.
Owen berkata, apa yang lebih menarik pengunjung juga boleh menggunakan kemudahan riadah seperti basikal, kolam renang, gelongsor dan kayak di tali air yang dikelilingi 2,100 pokok kelapa, pisang dan avokado.
“Kami mahu berikan pengalaman berbeza supaya pengunjung dapat memenuhi aktiviti di sini bersama insan tersayang sambil melupakan sejenak bebanan tugas selama ini.
“Malah terdapat juga kemudahan surau, set BBQ dan ruang dapur terbuka kerana kami juga menerima tempahan berkumpulan sama ada untuk pekerja syarikat, pelajar universiti atau majlis keraian,” katanya.
Jelasnya, untuk menjaga kebersihan dan sensitiviti pengunjung, semua jenis haiwan peliharaan tidak dibenarkan di bawa masuk ke dalam unit penginapan.
Mereka yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi talian 011-88880276. – MalaysiaGazette