KUALA LUMPUR – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjalinkan kerjasama Olive Jardin Marketing bagi menjalankan kajian klinikal pertama di Malaysia terhadap buah zaitun dara (EVOO) yang memberi manfaat kepada kesihatan secara saintifik.
Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr. Fadzil Adam berkata, kajian klinikal selama sembilan bulan sejak 1 Januari lalu bagi membuktikan keberkesanan minyak yang terhasil daripada buah zaitun tuaian muda terhadap penyakit metabolik.
Beliau berkata, keputusan untuk menjalankan kajian mengenai minyak zaitun dara sebagai modul kajian adalah berdasarkan beberapa faktor penting di mana EVOO telah lama diakui sebagai sebahagian diet sihat dan berkhasiat, malah ia juga disebut sebagai makanan sunnah.
“Hanya melalui kajian penyelidikan saintifik dapat membuktikan khasiatnya secara lebih spesifik dan hasil kajian ini boleh dijadikan rujukan yang jelas dan berasas kepada masyarakat umum.
“Kajian ini juga memberi peluang untuk mengeksplorasi potensi terapi baru, pemakanan yang lebih baik dan strategi pencegahan penyakit.
“Selain daripada aspek penyelidikan, modul kajian mengenai minyak zaitun dara juga dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami lebih lanjut mengenai kepentingan pemakanan yang sihat dan kaitannya dengan kesihatan di mana ia adalah langkah penting dalam membina kesedaran mengenai pemilihan pemakanan yang betul dan gaya hidup yang sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara UniSZA dan Olive Jardin Marketing di sini baru-baru ini.
Hasil kajian itu akan diterbitkan di dalam jurnal dan dikongsi dengan semua pihak yang terbabit.
Sementara itu, Pengarah Urusan Olive Jardin Marketing, Muhd Shakir As-Salam Ya, pasaran minyak zaitun dara di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa berdepan isu ketulenan apabila sesetengah pengusaha dipercayai bertindak memalsukan maklumat yang terkandung dalam produk mereka.
Menurutnya, faktor itu berlaku ekoran kurang pendedahan serta maklumat berkenaan ciri-ciri khas minyak zaitun dara yang sebenarnya boleh dikesan melalui aroma dan rasa.
“Pasaran minyak zaitun di Malaysia yang boleh dipercayai tidak sampai 10 peratus kerana minyak zaitun yang dikategorikan sebagai extra virgin perlu ada dua pengesahan daripada makmal yang diiktiraf International Olive Council (IOC).
“Nilai free acidity yang rendah dan ukuran median kesegaran buah yang tinggi merupakan ukuran utama dari segi kualiti yang ditetapkan IOC,” katanya.
Berkongsi mengenai kelebihan produk Olive Jardin berbanding jenama lain di pasaran, Muhd Shakir berkata, buat masa ini, produk utama yang dihasilkan adalah Zoutina Prestige iaitu hasil perahan buah zaitun muda yang belum matang.
Ujarnya, kotak pembungkusan serta botol produk itu turut memaparkan sijil analisis makmal bagi memudahkan pengguna untuk mendapatkan kepastian mengenai status extra virgin.
“Kita miliki ladang buah zaitun sendiri di Meknes, Maghribi yang turut menjadi lokasi kilang pemprosesan. Produk yang siap dibotolkan kemudiannya dibawa terus ke Malaysia.
“Tahun lepas kami bawa sebanyak empat kontena membabitkan kira-kira 100,000 botol dan tahun ini kilang tersebut hanya berjaya menghasilkan 50 metrik tan bersamaan 200,000 botol dan jika ada permintaan tinggi, kena tunggu tuaian selepas itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhd Shakir As-Salam dalam usaha mengesahkan lagi kualiti dan keunikan Zouitina Prestige, syarikatnya telah menyertai dan memenangi lapan anugerah utama dipertandingan minyak zaitun sedunia yang diadakan di tujuh buah negara pada 2023.
Jelas beliau, Pertandingan EVOOLEUM Spain 2023 telah menobatkan Zouitina Prestige adalah Minyak Zaitun Dara (EVOO) terbaik MOROCCO dan 100 terbaik didunia.
“Walaupun dengan pelbagai kejayaan diraih di peringkat global, kami akan memastikan produk keluaran kami mampu dimiliki bagi membolehkan setiap golongan masyarkat mendapat peluang untuk merasai kehebatan dan khasiat EVOO,” katanya. – MalaysiaGazette