Pengunjung mula hadir pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 08 DISEMBER 2023. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Program Setahun Bersama Kerajaan Madani (SBKM) yang dikelolakan secara bersama oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berjaya mempromosi dasar dan inisiatif baharu kerajaan berjaya dipromosikan dengan berkesan.

Menurut Pegawai Tadbir di Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Muhammad Akmal Ikram Kamarul Zaman, daripada maklum balas pengunjung pada program tersebut, kebanyakan mereka berpuas hati dengan perlaksanaan program SBKM.

“Ia telah berjaya meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan serta membina kepercayaan dan keyakinan antara kerajaan dengan rakyat.

“Melalui program SBKM ini, bukan sahaja dasar dan inisiatif baharu Kerajaan berjaya dipromosikan dengan berkesan tetapi ia juga menyediakan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat, sesi libat urus kementerian-kementerian bersama rakyat, pameran pencapaian semua Kementerian berserta perancangan jangka masa panjang kerajaan.

“Dengan kehadiran seramai lebih 230,000 orang pengunjung, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan persetujuan kerajaan untuk memperluaskan program ini ke negeri-negeri bagi membolehkan rakyat di seluruh ceruk rantau diberikan ruang untuk menyertainya serta menyatakan cadangan serta pandangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan pada 8 hingga 10 Disember lalu telah dibanjiri dengan kehadiran lebih dari 230,000 pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut universiti, pemain industri pembinaan, orang awam, kakitangan agensi awam dan swasta.

Muhammad Akmal Ikram Kamarul Zaman
Muhammad Akmal Ikram Kamarul Zaman

Dalam pada itu, Muhammad Akmal Ikram berkata, penganjuran Program Madani Rakyat Zon Tengah (MRZT) pada 23 hingga 25 Februari depan akan digerakkan bagi meneruskan usaha kerajaan menyantuni rakyat.

“Kali ini sebanyak 34 reruai kementerian dan agensi serta 163 perkhidmatan ‘touchpoint’ rakyat disediakan di mana 121 perkhidmatan adalah dari agensi Persekutuan manakala 42 adalah dari agensi negeri.

“Selain itu, 31 usahawan terlibat dalam Jualan Agro dan MADANI, 20 majikan terlibat dengan Karnival Kerjaya dan 4 agensi terlibat dalam pameran asset kerajaan,” katanya lagi.

Program Madani Rakyat Zon Tengah akan diadakan di Kompleks Sukan Kuala Selangor bagi merintis perluasan ke ke negeri-negeri usaha mendekatkan rakyat dengan Kerajaan Madani khusus untuk rakyat Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selepas Selangor, program MRZT ini kemudiannya akan diperluaskan lagi ke negeri-negeri lain di seluruh Malaysia bermula dengan Zon Utara di Pulau Pinang pada 26 hingga 28 April, Zon Timur di Pahang pada 28-30 Jun, Zon Selatan di Johor pada 25 hingga 27 Julai seterusnya di Sabah (27-29 September) dan di Sarawak (18-20 Oktober).

Melalui program ini juga, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengadakan Jualan Agro dan Madani sebagai satu intervensi untuk mengukuhkan rantaian bekalan makanan selain menangani kos sara hidup rakyat dengan membolehkan pengeluar memasarkan produk terus kepada pengguna dengan penawaran harga yang lebih munasabah melalui diskaun antara 10 hingga 30 peratus.

Jualan Agro dan Madani ini antara lainnya akan menawarkan 5,000 kampit beras, 1,000 ekor ayam bulat, lebih 300 kilogram hasil laut seperti udang dan ikan serta lima tan buah-buahan kepada para pengunjung selain menawarkan pelbagai barangan keperluan harian lain pada harga yang berpatutan, termasuk kombo bakul jualan serendah RM10. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast