Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kejatuhan nilai ringgit merupakan masalah yang dihadapi seluruh dunia, bukan hanya di Malaysia.

Pemerhati politik, Prof Dr Syed Azizi Wafa Syed Khalid Wafa berkata, situasi tersebut didorong beberapa faktor termasuk krisis di antara Rusia dengan Ukraine dan serangan Israel terhadap Gaza.

“Kejatuhan ringgit ni bukan Malaysia sahaja, tapi ia masalah dunia. Kadar mata wang negara terjejas akibat peperangan dunia di antara negara-negara tertentu yang turut memberi kesan kepada ekonomi dunia,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Bagaimanapun beliau yakin kerajaan Madani mempunyai strategik jangka masa panjang yang mana antaranya adalah pelaburan dan kestabilan politik.

Jelasnya, ini kerana usaha untuk mengukuhkan nilai ringgit memerlukan tempoh yang lama.

“Keadaan ekonomi nilai ringgit memerlukan usaha yang strategik jangka masa panjang tidak boleh sehari, sebulan dua akan makan masa bertahun.

“Sebab itu Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan setiap lima tahun sekali sebab ia melibatkan kestabilan negara yang akhirnya memberi kesan kepada kedudukan kewangan negara juga,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak memberi peluang kepada kerajaan Madani mengukuhkan semula keadaan ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Ini bukan kerja sebulan dua. Paling penting dalam keadaan ekonomi negara adalah kestabilan sesebuah negara, itu penting. Negara mesti bersih daripada budaya rasuah, dan perlu intergriti, ini juga memberi kesan,” katanya lagi.

Sementara itu, Syed Azizi Wafa tidak menolak wujud keperluan untuk menubuhkan Majlis Pemulihan Ekonomi yang akan dianggotai oleh pakar-pakar ekonomi.

Ujar beliau, pandangan-pandangan daripada pakar ekonomi akan dapat membantu kerajaan memulihkan ekonomi dan mengukuhkan semula Ringgit Malaysia.

“Pakar-pakar ekonomi akan menggunakan pandangan mereka untuk melakar strategi dan merancang langkah-langkah mengukuhkan ekonomi sekaligus memastikan nilai ringgit mengukuh,” tambahnya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa prestasi kewangan negara menunjukkan pencapaian luar biasa sejak merdeka.

Katanya, meskipun nilai ringgit jatuh, namun kadar inflasi menurun sehingga 1.5 peratus dan jumlah pelaburan meningkat sehingga 23 peratus kepada RM329.5 billion pada 2023. -MalaysiaGazette